Gurauan minta lagu jadi kenyataan... Ustaz Kazim Elias tak sangka dah jadi penyanyi profesional

Ustaz Kazim pertama kali bekerjasama dengan Tuju.

BUAT pertama kali pendakwah bebas iaitu Datuk Ustaz Kazim Elias muncul dengan lagu ketuhanan berjudul Salawat 1442 bersama dua penyanyi rap iaitu Tuju dan Tyco.

Bercerita tentang itu, Ustaz Kazim, berkata, dia tidak menyangka gurauan meminta Datuk Norman Abdul Halim membuatkan lagu untuknya menjadi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi dikasari jadi pengajaran, Loca B, Tuju kongsi kisah cinta dalam lagu 'Empati'

Biarpun mengakui gemuruh kerana tidak pernah melalui proses rakaman namun beliau berpuas hati dengan nyanyiannya.

"Alhamdulillah... saya sangat berpuas hati untuk cubaan pertama dalam bidang nyanyian. Bila saya dengar lagu itu, saya rasa nak dengar lagi dan lagi.



Ustaz Kazim tampil dengan lagu Salawat 1442.

"Mulanya saya berjumpa dengan Norman untuk pembangunan sekolah yang dia nak buat... lepas itu saja bergurau minta dia buat satu lagu. Tak sangka, dia buat betul-betul.

"Pada awalnya saya gemuruh juga sebab mana saya tahu nak nyanyi dengan betul. Bila menyanyi ini kekoklah sikit," kata Ustaz Kazim kepada mStar.

Lirik video lagu Salawat 1442 boleh ditonton bermula pukul 10 malam, Rabu di saluran rasmi YouTube Imaan Music.

Dalam pada itu, Tuju atau Muhammad Azree Shah Awang Zamri, 24, berkata lirik rap dalam lagu tersebut merupakan luahan mengenai perjalanan hidupnya yang belum pernah dikongsikan kepada umum.

Saya memang sukakan sesuatu perkara baru dan mencabar.

TUJU

PENYANYI

"Pembikinan lirik lagu rap dalam lagu ini sesuatu yang belum pernah saya luahkan lagi dalam mana-mana karya sebelum ini.

"Salawat 1442 saya berupaya untuk meluahkan perasaan saya dengan lebih jelas sekaligus berkongsi cerita tentang perjalanan hidup saya yang dulu hingga kini, dalam usaha saya menjadi insan yang lebih baik.

"Saya memang sukakan sesuatu perkara yang baru dan mencabar. Dalam semua penglibatan saya menghasilkan muzik, ini kali pertama saya beranikan diri untuk tampil bukan hanya dalam muzik, malahan dalam kehidupan sebenar," katanya.



Lirik video lagu tersebut boleh ditonton bermula malam, Rabu.

Sementara itu, Tyco yang sudah 12 tahun menghilangkan diri kembali membuat kemunculan berharap lagu tersebut dapat memberikan impak kepada pendengar.

"Setelah 12 tahun berdiam diri, saya bakal membuat kemunculan kembali di mata orang ramai. Kali terakhir saya membuat penampilan adalah dalam filem Cicakman 2 iaitu pada tahun 2008.

"Walaupun konsep lagu yang dibawakan kali ini berbeza berbanding dengan karya-karya Tyco terdahulu, saya tetap mengharapkan agar karya kali ini dapat memberi impak kepada para pendengar," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain