suria

Drama Band kemalangan dilanggar pemandu mabuk - “Pemandu kereta dan kekasihnya larikan diri”

Beberapa orang ahli Drama Band terlibat dalam kemalangan kereta pada pagi, Ahad.

MALANG tak berbau apabila beberapa orang ahli kumpulan Drama Band iaitu Aepul, Daus, Padel dan seorang pekerja mereka terlibat dalam kemalangan kereta kira-kira pukul 1.30 pagi, Ahad di Pulau Pinang.

Menurut vokalis kumpulan, Aepul Roza, kereta mereka mengalami kerosakan sepenuhnya (total loss) selepas dilanggar pemandu kereta Vios yang dipercayai dalam keadaan mabuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Drama Band tiada niat singgung mana-mana pihak - “Segelintir orang tak dapat terima mesej kami”

Aepul juga berkata pemandu tersebut bersama teman wanitanya melarikan diri dengan meninggalkan kereta mereka di lokasi kejadian.

Aepul berkongsi video keadaan kereta yang mengalami kerosakan sepenuhnya.

"Ketika itu, kami dalam perjalanan ke Penang selepas selesai Jelajah Drama Band di Alor Setar, Kedah. Padel bawa kereta pun perlahan saja.

"Sampai bawah terowong Jalan Tunku Kudin, tiba-tiba ada kereta Vios laju dari lorong kanan masuk ke lorong kiri berlanggar dengan kereta kami.

"Bila kami keluar jumpa pemandu kereta itu, mulut dia berbau alkohol. Tapi tak lama lepas itu, pemandu tersebut dan kekasih larikan diri meninggalkan kereta mereka tanpa kami sedar.

"Selepas itu, kami terus buat laporan polis dan walaupun dia larikan diri tapi kereta dia masih ada di tempat kejadian," katanya kepada mStar.

Bila kami keluar jumpa pemandu kereta itu, mulut dia berbau alkohol.

AEPUL ROZA

VOKALIS DRAMA BAND

Menerusi laman Instagram Aepul memuat naik video yang memperlihatkan keadaan di bahagian hadapan kereta mereka hancur.

Rata-rata netizen dan beberapa selebriti turut terkejut dan mendoakan agar segala urusan Drama Band dipermudahkan.

Dalam pada itu, Aepul memberitahu mereka tidak mengalami kecederaan yang teruk namun mengalami sedikit luka di bahagian dahi dan kakinya.

Aepul alami kecederaan ringan.

"Alhamdulillah tiada yang cedera teruk, cuma saya ada luka sedikit di dahi dan kaki. Daus pula dada dia terhentak tapi nasib baik tak ada apa yang serius.

"Memang terkejut sebab pertama kali dalam hidup saya kemalangan. Apa-apa pun, saya bersyukur rakan-rakan yang lain selamat," ujarnya.

Drama Band kini berada di Penang untuk siri jelajah mempromosikan karya terbaharu mereka dan seterusnya di Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Mac depan manakala pada 29 Mac di Melaka.

Drama Band, Pemandu mabuk, Aepul

Artikel Lain