suria

Konsert Khai Bahar bukan batal tapi ditangguh - “Perancangan Allah itu jauh lebih baik”

Konsert Khai di Istana Budaya ditangguh dan tarikh baru akan diberitahu pada Isnin depan.

EKORAN penularan wabak Covid-19, Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac depan ditangguh ke tarikh yang akan diberitahu pada Isnin depan.

Menurut penerbit konsert, Fauziah Ahmad Daud, langkah itu diambil selepas mendapat nasihat dan persetujuan bersama pihak Istana Budaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Khai Bahar ditangguh? Ogy minta peminat bertenang - “Saya belum buat pengumuman, peminat Khai tolong hormat saya!”

Malah, Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, 58, akur dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua acara melibatkan orang ramai ditangguh sehingga April.

Ogy berharap peminat Khai bertenang.

"Semalam pihak IB pun sudah mengeluarkan notis berkenaan penangguhan konsert ini. Jadi, sebagai langkah keselamatan semua kita perlu akur.

"Apatah lagi, Perdana Menteri juga sudah mengumumkan berkenaan penangguhan semua acara membabitkan orang ramai sehingga April.

"Insya-Allah, tarikh baru berkenaan konsert ini akan dimaklumkan pada Isnin ini selepas saya mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah IB, Datuk Johari," katanya.

tarikh baru berkenaan konsert ini akan dimaklumkan pada Isnin ini selepas saya mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah IB.

OGY AHMAD DAUD

PENERBIT DAN PELAKON

Sebelum ini, Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, 58, memohon agar peminat Khai Bahar bertenang dan tidak membuat andaian berhubung dengan apa yang sedang berlaku.

Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia sepatutnya yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ogy menegaskan konsert tersebut tidak dibatalkan tetapi hanya ditangguhkan ke tarikh baharu.

Sebelum ini, Ogy ada memuat naik kenyataan di Instagram selepas menerima mesej pertanyaan daripada peminat Khai.

Pelakon filem Pusaka ini juga berharap peminat yang sudah membeli tiket tidak panik dan gusar berkenaan penangguhan konsert itu.

"Konsert ini tidak dibatalkan. Ia akan diteruskan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan. Kita tunda pun disebabkan perkara yang berlaku di luar jangkaan kita.

"Saya berharap peminat yang sudah membeli tiket sabar dan tenang. Saya percaya ada hikmah di sebalik semua yang berlaku.

"Perancangan Allah itu jauh lebih baik. Semoga apa yang dirancang ini akan terus berjalan lancar," ujarnya.

Khai Bahar, Ogy Ahmad Daud, Covid-19

Artikel Lain