suria

Jadual seni artis terjejas sepanjang Mac dan April kerana Covid-19

Jadual Zizi, Hael dan Sissy Iman terjejas kerana wabak Covid-19.

PENULARAN wabak Covid-19 menjejaskan aktiviti seni apabila beberapa penyanyi mengumumkan pembatalan persembahan dan penggambaran di luar negara sepanjang bulan Mac dan April depan.

Salah seorangnya penyanyi dan pengacara Sissy Imann yang memberitahu jadual penggambaran program trevelog yang sepatutnya pada Mac ditunda pada Jun depan.

Sissy berkata, keputusan itu dibuat pihak produksi sebagai langkah berjaga-jaga dan kebimbangan terhadap wabak tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang sekeliling dia cakap saya kejam, pentingkan diri” - Lelaki penghidap kanser hati ‘luah perasaan’ terhadap Sissy Imann

Penggambaran program Sissy ditunda pada Jun.

"Memang saya ada rasa takut dengan keadaan wabak Covid-19 semakin menular dan ada pula orang kata terdapat kes tersebut di lokasi yang saya pergi itu.

"Tapi disebabkan kerja, saya tawakal saja. Saya dan pihak produksi ada ambil langkah keselamatan dengan memakai mask dan menjaga kebersihan diri.

"Sepatutnya dalam bulan ini, penggambaran akan diteruskan ke Morocco tapi sudah ditunda pada Jun depan," kata Sissy kepada mStar.

Wabak covid-19 yang semakin teruk menyebabkan beberapa aktiviti dan acara yang melibatkan orang ramai dibatalkan.

Malah, beberapa selebriti seperti Nabila Razali dan Aeril Zafrel turut terpaksa membatalkan penerbangan mereka ke luar negara.

Hael Husaini batal promosi Mac dan April.

Selain Sissy, Hael Husaini dan Zizi Kirana turut menyatakan pendirian mereka untuk membatalkan kemunculan di mana-mana majlis terbuka yang mengundang risiko dijangkiti wabak tersebut.

"Kepada semua, penularan wabak Covid-19, semua kemunculan saya di tempat awam termasuk rangka promosi dan persembahan terbuka pada bulan Mac dan April dibatalkan dan akan dijadualkan semula yang akan diberitahu," ujar Hael.

Manakala, Zizi turut memuat naik pengumuman yang sama berikutan kebimbangan terhadap kes jangkitan semakin meningkat.

"Akibat wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan, promosi dan persembahan luar saya sepanjang Mac dan April ditangguhkan sehingga diberitahu nanti," tulisnya.

Sissy Imann, Covid-19

Artikel Lain