suria

Drama Band tiada niat singgung mana-mana pihak - “Segelintir orang tak dapat terima mesej kami”

Persembahan Drama Band di pentas AJL34 menerima kecaman.

GARA-gara membuat persembahan berkonsepkan cynical parody dengan menggunakan pelbagai karakter figura terkenal, Drama Band menerima kecaman hebat netizen.

Vokalis Drama Band iaitu Aepul Roza tampil menjelaskan dia dan ahli kumpulannya tidak mempunyai niat untuk menyinggung mana-mana pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Beberapa hari lagi AJL, saya hilang suara…” - Aepul Drama Band bimbang kesihatan, peminat kongsi petua!

Bagaimanapun, Aepul berkata mereka menyedari segelintir masyarakat yang tidak dapat menerima jalan cerita yang cuba disampaikan.

Drama Band tidak singgung mana-mana pihak.

"Sejujurnya kami tidak ada niat pun nak menyinggung perasaan mana-mana pihak dengan persembahan konsep cynical parody itu.

"Tak sangka pula perkara ini menjadi isu. Mungkin ada segelintir orang tak dapat nak terima mesej yang kami cuba sampaikan.

"Apa-apa pun, kami minta maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan persembahan itu," kata Aepul kepada mStar.

Aepul diminta mengulas mengenai persembahan kumpulannya menerusi lagu Drama di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 34 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Kami reda video persembahan malam itu disekat.

AEPUL ROZA

VOKALIS DRAMA BAND

Menerusi persembahan itu, Drama Band menggunakan beberapa karakter yang didakwa menyerupai figura terkenal antaranya Haqiem, Haneesya Hanee, PU Abu dan Da'i Farhan.

Kumpulan yang turut dianggotai Adib (gitar), Daus (bes) dan Faeez (dram) itu turut menampilkan watak seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah.

Pihak stesen TV3 memberitahu konsep yang dianggap gimik keterlaluan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu dan bakal ambil tindakan jika kumpulan tersebut didapati melanggar kod kandungan penyiaran yang ditetapkan.

Antara karakter yang menyerupai Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah.


Dalam pada itu, Aepul menjelaskan dia dan pasukannya ada memaklumkan kepada pihak produksi berkenaan konsep tersebut namun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai karakter yang bakal ditampilkan.

"Kami sudah memaklumkan kepada pihak produksi berkenaan konsep itu tapi mungkin tidak sepenuhnya mengenai karakter yang bakal ditampilkan.

"Tapi tak apa, kami reda video persembahan malam itu disekat," ujarnya.
Drama Band, Aepul Roza, AJL34

Artikel Lain