suria

Ramai suka tonton episod zoo mini Afieq Shazwan, segmen #Bizibody tercalon Top 5 Program MeleTOP AME2020

Qarami (kanan) bersama Afieq Shazwan (kiri) yang turut sama hadir pada sidang media pengumuman Top5 AME2020.

RANCANGAN terbitan mStar iaitu Bizibody tercalon dalam Top 5 Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) bagi kategori Program MeleTOP.

Pengumuman pencalonan akhir untuk 15 kategori yang dipertandingkan dalam anugerah tersebut diadakan di Menara TA One pada Selasa.

Bizibody yang dihoskan oleh Qarami Hashim layak bersaing dalam Top 5 setelah menyingkirkan 15 program lain yang dipertandingkan menerusi pencalonan awal Top 20 pada bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai penuh pencalonan AME2020, Mira Filzah dan Siti Nordiana ‘sangkut’ empat kategori

ARTIKEL BERKAITAN: #Bizibody buat 'kacau' di sidang media AME 2020... betul ke artis marah kena selongkar?

Menurut Penerbit mStar, Ariffudin Ishak, penyertaan Bizibody sebagai calon Top 5 merupakan satu kejayaan untuk kandungan digital terbitan Kumpulan Media Star.

Katanya, meskipun bersaing dengan pelbagai program hebat di Malaysia, Bizibody berjaya menembusi lima program hiburan popular bagi tahun ini.

“Ia merupakan satu penghargaan, bukan mudah untuk kita menembusi kategori ini kerana saingan sangat sengit.

“Alhamdulillah sokongan penonton, pembaca dan peminat segmen ini berjaya melayakkan Bizibody berdiri sebaris program-program televisyen lain.

“Ini membuktikan content digital sudah mula diterima ramai dan kita optimis untuk menghasilkan lebih banyak kandungan berkualiti untuk penonton Malaysia,” katanya kepada mStar.

Bizibody episod bersama penyanyi Afieq Shazwan ini merupakan program dalam talian pertama berjaya melayakkan diri dalam pencalonan akhir AME2020.

Episod Intai Zoo Mini Afieq Shazwan yang hingga kini menerima hampir dua juta tontonan boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi mStar Online Malaysia.

Bizibody yang bersiaran setiap hari Jumaat itu akan bersaing dengan empat lagi program iaitu Big Stage Siri 2 Akhir, Gegar Vaganza Siri 6 Episod 7, Maharaja Lawak Mega 2019 Akhir dan Sepahtu Reunion Live 2019 Akhir.

Sebelum ini, dua lagi program mStar iaitu What The! dan Ceritera turut tersenarai dalam pencalonan Top 20.

AME2020 bertemakan Epik Glam dengan tagline Yang Epik Yang Legend akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 April depan.

Ia boleh ditonton secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

AME2020 akan dihoskan oleh Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Alif Satar.

Undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir untuk setiap kategori boleh dibuat secara online menerusi laman web www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi Syok serta melalui kiriman SMS bermula Selasa sehingga 12 April pukul 12 tengah hari.

Bizibody, Afieq Shazwan

Artikel Lain