suria

“Saya ada cuba hubunginya tapi…” - Ning Baizura terpaksa guna Youtube kaji karakter Marina Mahathir

Ning Baizura teruja membawa watak anak perdana menteri, Marina Mahathir.

PELAKON Ning Baizura mengakui ada menghubungi Datin Paduka Marina Mahathir bagi mendapatkan pandangannya sebelum melakonkan watak sebagai aktivis sosial itu dalam filem Mahathir The Journey.

Bagaimanapun, Ning berkata usahanya itu gagal apabila panggilan dan mesej yang dihantar tidak mendapat sebarang reaksi daripada Marina.

"Saya ada cuba hubunginya melalui telefon dan Twitter tapi tak dapat apa-apa reaksi... sebagai pelakon yang melakonkan watak orang yang masih hidup, saya rasa perlu untuk dapatkan pandangannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Marina anggap filem ‘Mahathir, The Journey’ memalukan, penerbit jawab - “Ini bukan kisah Marina”

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat tegur wajah Lisdawati seiras Nurul Izzah - “Mulanya tak perasan, bila tengok gambar memang ada iras sikit!”

"Memandangkan tak dapat apa-apa respon, jadi terpaksalah saya buat kajian watak dengan cara sendiri dan dalami karakternya itu melalui medium lain.

"Bagi saya apa yang ditulis di Twitter itu adalah pandangannya kerana masing-masing ada hak memberi pendapat, saya hormati pendapatnya itu! Lagipun filem ini mengangkat kisah perdana menteri yang kita semua tahu seorang individu yang sangat dikagumi dan Marina merupakan sebahagian dalam keluarganya," katanya kepada mStar.

Ning guna Youtube bagi mendalami karakter Marina.

Ning ditemui semasa lawatan ke lokasi penggambaran filem Mahathir The Journey yang diadakan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hotel tersebut menjadi lokasi bersejarah apabila Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan mengadakan sidang media tergempar semasa malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 10 Mei 2018.

Pada 11 November tahun lalu, anak sulung kepada perdana menteri itu tampil menyatakan bahawa dia dan anggota keluarga yang lain tidak mengetahui mengenai filem Mahathir The Journey.

Menerusi laman Twitter, Marina turut berkata dia hanya mengetahui kewujudan wataknya dalam filem itu melalui media.

Hotel Sheraton menjadi salah satu lokasi penggambaran kerana mempunyai babak penting semasa malam pengumuman keputusan PRU14.

Bagaimanapun, penerbit Reliance Media Group Sdn Bhd iaitu Yusuf Kelana berkata projek filem itu akan tetap diteruskan meskipun tidak menerima persetujuan daripada mana-mana watak terlibat.

Ini kerana pihaknya sudah mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) setelah skrip filem ini melalui proses rombakan sebanyak 12 kali.

Sementara itu, bagi memastikan watak Marina dapat dibawa dengan baik, Ning memberitahu dia menggunakan laman Youtube untuk mendalami karakter pada figura tersebut.

"Saya buat teori sendiri melalui Youtube, selepas dapat watak ini kira-kira tiga bulan lepas, saya terus tengok cara Datin Paduka Marina melalui beberapa platform digital termasuklah cara penulisannya di Twitter.

Barisan pelakon utama filem Mahathir The Journey.

"Sejujurnya, dia sangat berbeza dengan saya... dia seorang yang sangat ringkas, mekap pun tak ada, tegas, berdisiplin dan sangat positif membantu orang lain sebagai aktivis.

"Apa yang boleh saya kata, karakter antara kami sangat berbeza dan selepas hampir sebulan melakonkan watak Marina ini, saya mula rasa sebati dan kena dengan jiwa," ujarnya.

Filem Mahathir The Journey mengisahkan mengenai perjalanan kehidupan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Selain Ning Baizura membawakan watak Datin Paduka Marina Mahathir, barisan pelakon filem terbabit ialah Azhar Amir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah Anwar), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Filem arahan Profesor Mohamad Hatta Azad Khan ini menelan bajet sebanyak RM6 juta dan dijangka akan ditayangkan pada Julai depan.

Artikel Lain