suria

Marina anggap filem ‘Mahathir, The Journey’ memalukan, penerbit jawab - “Ini bukan kisah Marina”

Marina Mahathir tidak mengetahui mengenai kewujudan wataknya dalam filem Mahathir, The Journey.

PENERBIT Reliance Media Group Sdn Bhd, Yusuf Kelana berkata projek filem Mahathir, The Journey akan tetap diteruskan meskipun tidak menerima persetujuan daripada mana-mana watak terlibat.

Menurut Yusuf, pihaknya sudah mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan akan menghantar surat rasmi kepada semua watak terbabit dalam masa terdekat.

"Kita sudah memulakan projek filem ini kira-kira tujuh bulan lalu dan skrip filem ini melalui proses rombakan sebanyak 12 kali sebelum mendapat kelulusan 100 peratus daripada PMO.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat tegur wajah Lisdawati seiras Nurul Izzah - “Mulanya tak perasan, bila tengok gambar memang ada iras sikit!

"Apabila PMO sudah memberikan kebenaran barulah kita lancarkan filem ini dan kemudian barulah watak-watak terlibat akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

"Walaupun mungkin akan ada yang tak bersetuju, kita akan teruskan projek ini kerana setiap watak mempunyai peranan dalam perjuangan perdana menteri kesayangan kita, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya kepada mStar.

Penerbit yang juga Ketua Bahagian Kreatif Reliance Media, Yusuf Kelana.

Pada Selasa, anak sulung kepada perdana menteri iaitu Datin Paduka Marina Mahathir tampil menyatakan bahawa dia dan anggota keluarga yang lain tidak mengetahui mengenai filem tersebut.

Menerusi laman Twitter, Marina turut berkata dia hanya mengetahui kewujudan wataknya dalam filem itu melalui media.

"No endorsement from any of us for this!

"Keluarga saya lebih suka tiada sesiapa menghasilkan filem, filem biografi, muzikal, kartun atau apa saja mengenai kami kerana ia memalukan," tulis Marina.

Ning Baizura membawakan watak Marina Mahathir dan Lisdawati sebagai Nurul Izzah.

Mengulas mengenai kenyataan Marina itu, Yusuf berkata filem ini mengangkat perjuangan Dr Mahathir dan watak Marina diperlukan kerana dia merupakan sebahagian keluarga tokoh politik tersebut.

"Filem ini dibuat untuk menceritakan bagaimana perjuangan Tun Dr Mahathir dan bukannya mengenai kisah Marina... namun, watak Marina perlu ada kerana dia merupakan sebahagian keluarga Tun Mahathir.

"Sebenarnya selepas pelancaran filem ini kita ada hubungi pembantu Marina, bahkan pelakon watak tersebut iaitu Ning Baizura juga ada menghubunginya.

Perkongsian Marina di laman Twitter menarik perhatian masyarakat mengenai filem tersebut.

"Memandangkan ini adalah kisah sebenar mengenai Tun Mahathir, jadi watak-watak di sekeliling juga perlu ada. Semua watak, jalan cerita, skrip dan lokasi adalah sama dan tidak akan diubah," katanya.

Filem Mahathir, The Journey mengisahkan mengenai perjalanan kehidupan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Selain Ning Baizura membawakan watak Datin Paduka Marina Mahathir, barisan pelakon filem terbabit ialah Azhar Amir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah Anwar), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Filem arahan Profesor Mohamad Hatta Azad Khan ini menelan bajet sebanyak RM6 juta akan memulakan penggambaran pada Disember ini.

Artikel Lain