“Saya tiada masalah peribadi dengan dia, cuma foto itu keterlaluan” - Syada Amzah kasihan Haneesya jadi mangsa pihak tertentu - Hiburan | mStar

“Saya tiada masalah peribadi dengan dia, cuma foto itu keterlaluan” - Syada Amzah kasihan Haneesya jadi mangsa pihak tertentu

Syada kesal dengan tindakan pemilik produk yang memungkiri janji terhadap Haneesya Hanee.

PESERTA program Big Stage musim kedua iaitu Syada Amzah meluahkan rasa kesal terhadap pihak yang memungkiri janji dan memuat naik gambar penuh Haneesya menggayakan tudung merah dengan pakaian kurang sopan di media sosial.

Menurut Syada atau nama sebenarnya Nursyuhada binti Amir Amzah, 21, dia sebaliknya berasa kasihan dengan nasib yang menimpa model berkenaan selain menyifatkan wanita itu menjadi mangsa perangkap pihak tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak jahil sampai tahap macam tu lagi” - Haneesya Hanee kesal pemilik produk muat naik imej penuh

ARTIKEL BERKAITAN: “Patutnya keluar lebih awal!” - Netizen puas hati, akhirnya Chaleeda, Syada tersingkir

"Sebenarnya saya bukan nak point out fasal dia... kalau tengok balik status itu, saya bercakap mengenai tudung yang dipakainya. Niat asal saya nak orang report foto itu supaya ia boleh diturunkan kerana saya menganggap foto itu tidak menghormati agama.

"Sebelum itu saya ada tanya seseorang yang rapat dengan Haneesya mengenai foto itu. Kenapa dia ambil gambar macam ni? Kemudian baru Haneesya beritahu gambar itu sepatutnya close up, hanya tunjuk tudung sahaja... tapi tiba-tiba mereka keluarkan full shot, dengan keadaan sebegitu.

Syada meluahkan rasa kecewa terhadap foto Haneesya menggayakan tudung yang memberi ilusi seolah-olah tidak berpakaian.

"Saya sangat kasihan dengan Haneesya sebab dia asyik kena hentam dan sekarang dia kena lagi. Kalau benarlah mereka janji gambar itu close up tetapi akhirnya mereka keluarkan gambar penuh, saya rasa Haneesya sendiri sudah terperangkap," ujarnya kepada mStar.

Bercerita lanjut, Syada berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah peribadi terhadap Haneesya namun beranggapan apa yang dilakukan bekas peserta Dewi Remaja berkenaan adalah tidak sopan dan memberi gambaran buruk terhadap agama.

"Saya sedar saya taklah baik sangat cuma saya rasa saya perlu buat sesuatu mengenainya. Jujur, saya tiada masalah peribadi atau ada perasaan benci terhadap Haneesya sebaliknya dia seorang yang sangat baik. Saya amat mengagumi kecantikan dia tapi saya rasakan gambar itu keterlaluan.

"Saya juga faham modelling adalah periuk nasi, bakat dan kelebihan dia tetapi saya percaya dia ada hak untuk bercakap sesuatu mengenainya. Sekalipun dia terima job itu tiada masalah kerana itu rezeki dia.

Cuba anda fikir kalau gambar itu mereka gunakan sehingga tahap antarabangsa dan masyarakat lain tengok gambar itu, apa mereka akan fikirkan?

SYADA AMZAH

Penyanyi

"Tapi kalau dah gambar berupa sebegitu, walaupun mereka cakap ia close up, Haneesya kena pastikan foto itu tak menimbulkan sebarang gambaran buruk.

"Saya nak menjaga agama sebab saya tak mahu orang sewenang-wenangnya mempermainkan perkara itu. Cuba anda fikir kalau gambar itu mereka gunakan sehingga tahap antarabangsa dan masyarakat lain tengok gambar itu, apa mereka akan fikirkan?" soalnya.

Dalam pada itu, Syada turut menafikan tindakannya memuat naik foto itu di laman Twitter semata-mata untuk meraih populariti.

Katanya, netizen salah faham terhadap mesej yang ingin disampaikannya.

"Biasalah, netizen salah anggap apa mesej yang saya cuba sampaikan dengan mengaitkan isu lain.

"Kenapa saya nak raih populariti melalui berita sebegini? Lebih baik saya raih dengan cara lagu saya meletup.

"Saya berada dalam industri untuk berkarya dan tunjuk bakat. Bukannya nak bergosip," katanya.

Syada Amzah , Haneesya Hanee