suria

“Saya tak jahil sampai tahap macam tu lagi” - Haneesya Hanee kesal pemilik produk kongsi imej seksi nampak paha

Haneesya kesal pemilik produk kongsi imej penuh.

PELAKON Haneesya Hanee tidak berniat untuk memperlekehkan agama Islam apabila tampil memakai gaun pendek paras paha namun menutup kepala dengan selendang merah.

Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan berkata, apa yang dikesalkan apabila pemilik produk berkenaan memungkiri janji dengan berkongsi foto keseluruhan imej digayakannya di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Gambar jadi bahan ejekan bubble tea, Ibu Haneesya Hanee buat laporan polis - “Kamu boleh cari fasal dengan saya tapi bukan dengan emak”

"Saya tak bodoh agama dan saya tak akan memperlekehkan agama saya sendiri. Saya diberitahu gambar yang diambil cuma separuh dan sekadar nampak skarf. Itu saja tapi saya tak sangka gambar itu adalah gambar penuh.

"Sedangkan masa penggambaran saya dah ingatkan mereka supaya tidak merakam foto saya dalam keadaan seksi apatah lagi muat naik di laman sosial," katanya ketika dihubungi mStar.

Haneesya tak begitu jahil hingga membiarkan gambar sebegitu didedahkan.

Haneesya, 19, diminta mengulas kutukan netizen selepas tersebarnya foto dia bergambar dengan memakai tudung namun berskirt pendek.

Netizen berpendapat tindakan itu seolah-olah mempersendakan agama.

Dalam pada itu Haneesya berpendapat, dalam isu ini dia tidak melakukan kesalahan kerana gambar tersebut dikongsi oleh orang lain sehingga mencetuskan kontroversi.

"Bila mereka muat naik gambar tu, pada saya ia bukan salah saya sebab mereka yang berbuat demikian.

"Bagi saya pula, saya dah cuba yang terbaik untuk pastikan gambar itu dihapuskan bukan kerana saya takutkan kecaman tapi saya pun tahu gambar macam tu tak patut dikongsi di media sosial kerana boleh menyebabkan kemarahan orang.

Bila mereka muat naik gambar tu, pada saya ia bukan salah saya sebab mereka yang berbuat demikian.

HANEESYA HANEE

PELAKON/MODEL

"Jadi... tak wajar ada pihak nak tuduh saya mempermainkan agama, saya tak jahil sampai tahap macam tu lagi," tambahnya.

Dalam pada itu, Haneesya memberitahu bahawa mesej yang cuba ditonjolkan menerusi gambar tersebut ialah peranan skarf yang boleh ditampilkan dalam pelbagai gaya.

Ia bukan merujuk kepada tudung sahaja tetapi jenama tersebut mahu dia menggayakan selendang itu ala-ala 'old school'.

"Menurut apa yang mereka jelaskan kepada saya, ia bukanlah sehelai skarf semata-mata merujuk sebagai tudung sahaja, namun ia boleh dipelbagaikan macam ala-ala 'old school'," ujarnya. 

Haneesya Hanee

Artikel Lain