suria

Pelawak Kamal Chilok koma terbabit kemalangan selepas ‘COD’ patin tempoyak

Kereta Kamal berlanggar dengan kenderaan jenis MPV selepas menghantar tempahan pelanggan.

ANGGOTA kumpulan Chilok iaitu Kamal terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Putrajaya kira-kira pukul 2 petang, Khamis.

Menurut salah seorang ahli kumpulan iaitu Chiwan, Kamal atau nama sebenar Mohd Kamal Shah Saharuddin mengalami kecederaan pada anggota badan serta kepala dan masih belum sedarkan diri.

"Semasa kejadian, dia memandu kenderaan sendirian dan berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) dan tak sedarkan diri selepas kemalangan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta Indonesia, Brunei bakal beri saingan di pentas MLM 2019

"Kamal dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan doktor dah buat pemeriksaan... dia mengalami patah bahu, kaki dan pendarahan dekat kepala. Sekarang ini dia masih koma!

"Doktor kata kalau perlu pembedahan dalam masa terdekat, dia akan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur," katanya kepada mStar.

Kumpulan Chilok; dari kiri Chiwan, Kamal dan Achok.

Sementara itu, peserta Maharajalawak Mega 2019 ini memberitahu kemalangan itu berlaku selepas Kamal menghantar tempahan makanan seorang pelanggan dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Pelawak itu menjalankan perniagaan patin tempoyak secara 'cash on delivery' (COD) atau pembayaran tunai semasa serahan sejak awal tahun lalu.

"Kamal ada buat perniagaan makanan patin tempoyak dan kemalangan terjadi ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Sepang, Selangor, selepas menghantar tempahan pelanggan di Putrajaya.

"Saya pun tak pasti macam mana kemalangan itu berlaku dan apabila mengetahui berita tersebut, kita terus bergegas ke hospital.

"Minta semua peminat mendoakan agar Kamal sedar seperti sedia kala dan kesihatannya baik-baik sahaja," ujarnya.

Terdahulu, Kamal menyertai kumpulan KRONI dalam Muzikal Lawak Superstar (MLS) dianggotai oleh Achok Cilok, Kamal Chilok dan Wani Kayrie.

Kamal Chilok

Artikel Lain