suria

Peserta Indonesia, Brunei bakal beri saingan di pentas MLM 2019

Kumpulan Bocey bakal memberi saingan kepada 10 peserta lain di MLM 2019.

PROGRAM realiti hiburan Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) yang bakal kembali bersiaran buat tahun ke lapan turut diserikan dengan penyertaan peserta daripada Brunei.

Ketua Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi menjelaskan pihaknya berbangga apabila berjaya mengembangkan lagi penyertaan MLM tahun ini ke negara jiran Indonesia dan Brunei.

ARTIKEL BERKAITAN: Shiro bawa pulang RM500,000 juara Maharaja Lawak Mega 2018

“Bagi penganjuran musim kelapan ini, kami sekali lagi menampilkan bakat-bakat komedi terhebat dari Malaysia, Indonesia, dan buat julung kalinya membawa peserta daripada Brunei.

“Komedi dan lawak jenaka berupaya untuk merentasi segala jenis sempadan, justeru gabungan pelawak veteran dan masa kini akan menjadikan program ini sebagai platform terbaik dalam menghasilkan karya lawak segar dan berinovasi,” katanya.

Azlin ditemui pada sidang media pelancaran Maharaja Lawak Mega 2019 yang berlangsung pada Rabu.

Seramai 11 penyertaaan individu dan berkumpulan bakal bersaing di MLM 2019.

Seramai 11 peserta bakal berentap terdiri daripada dua peserta solo iaitu Rahmet dan Popon yang masing-masing berasal daripada Indonesia.

Manakala, sembilan peserta berkumpulan yang terdiri daripada kumpulan Bocey, Zero, Rare, dan Stone.

Brunei pula diwakili kumpulan Cali.

Selain itu MLM2019 turut di sertai kumpulan Jambus dan Rojak serta juara program Muzikal Lawak Superstar musim pertama iaitu J-Born.

Program ini juga masih mengekalkan Datuk AC Mizal sebagai hos buat kali kelapan berturut-turut.

Barisan empat orang juri pula akan diumumkan secara eksklusif pada siaran langsung minggu pertama.

Juara pula akan membawa pulang habuan sebanyak RM500,000 beserta trofi.

MLM2019 akan mula bersiaran bermula 1 November, pukul 9 malam di saluran Astro Warna (saluran 132).

Untuk rekod, MLM pernah dimenangi kumpulan Bocey untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada 2016 dan 2017.

Manakala kumpulan Shiro menjadi juara MLM2018.

Artikel Lain