Lufya akhirnya diceraikan melalui ‘WhatsApp’, bekas suami harap tak timbul spekulasi lain - Hiburan | mStar

Lufya akhirnya diceraikan melalui ‘WhatsApp’, bekas suami harap tak timbul spekulasi lain

Dr Che Hafiz mengakui dia sudah menceraikan isterinya menerusi aplikasi WhatsApp pada minggu lalu.

KONFLIK rumah tangga pelakon Lufya kembali menjadi perhatian apabila suaminya Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum mendedahkan dia sudah menceraikan aktres itu pada minggu lalu.

Menerusi sebuah kenyataan, Dr Che Hafiz, 29, memberitahu dia bersetuju untuk menceraikan Lufya atas permintaan isterinya menerusi WhatsApp pada minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Adakah saya tak layak untuk dicintai?” - Lufya padam status elak fitnah terhadap suami

ARTIKEL BERKAITAN: Lufya dakwa tak bahagia, jadi mangsa aniaya suami... “Aku pernah sakit, aku kemurungan”

Menurut Dr Che Hafiz, dia enggan mendedahkan punca perpisahan itu memandangkan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum selain perlu menjaga hati banyak pihak.

"Saya bersetuju dan tunaikan permintaan Lufya untuk menceraikannya. Permintaan tersebut diminta Lufya menerusi WhatsApp ketika kami sedang membincangkan isu rumah tangga.

"Biarlah kami sahaja yang tahu punca perceraian ini. Tidak perlu dimaklumkan kepada umum. Cukuplah ini sahaja penjelasan daripada saya dan terlalu peribadi untuk saya kongsikan tentang hal lain.

"Banyak hati yang perlu dijaga dan diharapkan tidak timbul sebarang spekulasi lain," katanya seperti dipetik daripada MHETV.

Bagaimanapun Lufya, 34, ketika dihubungi mStar memberitahu dia belum bersedia untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dengan pendedahan suaminya itu.

"Maaf saya belum bersedia nak komen apa-apa," kata Lufya secara ringkas pada Selasa.

Masalah rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian netizen apabila Lufya mendedahkan sikap suaminya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga di laman Instagramnya pada Jumaat lalu.

Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar juga mendakwa suaminya itu telah melakukan penganiayaan yang disifatkan sebagai tidak terjangkau dek fikiran terhadap dirinya.

Perkongsian itu dibuat berikutan sudah tidak mampu menahan perasaan kecewa terhadap suaminya yang mengabaikan haknya sebagai seorang isteri selepas tiga bulan berkahwin.

Bagaimanapun Lufya mengambil keputusan memadam perkongsiannya itu bagi mengelakkan fitnah berpanjangan terhadap mereka berdua.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura yang kini hampir memasuki usia dua tahun.

Lufya , Dr Muhammad Che Hafiz

Artikel Lain