Pengawal keselamatan warga asing dikecam seorang individu kerana mengambil air di Masjid Seksyen 7, Shah Alam.
ISU perkongsian rezeki di rumah ibadat sekali lagi menjadi perhatian warga maya selepas tular hantaran seorang lelaki mengecam tindakan warga asing mengambil air minuman yang disediakan di sebuah masjid.Menerusi perkongsian yang hangat diperkatakan di media sosial itu, lelaki berkenaan mendakwa golongan warga asing bertindak mengambil sehingga dua botol air.Ujarnya keadaan itu berbeza dengan warga tempatan yang dikatakan hanya mengambil setakat dua gelas sahaja."Warga asing... sampai dua botol air Masjid Seksyen 7 dia ambil," katanya menerusi grup Facebook Warga Asing Buat Hal Apa Hari Ni?Enggan membiarkan isu berkenaan berlarutan sehingga mencetuskan salah faham, pihak Masjid Seksyen 7, Shah Alam, Selangor tampil memberikan penjelasan.“Bagi pihak Masjid Seksyen 7, kami tiada masalah sekiranya sesiapa sahaja mahu mengambil air untuk diminum, sama ada orang tempatan mahupun warga asing. “Air yang disediakan merupakan hasil sumbangan para penyumbang dan pewakaf untuk dimanfaatkan oleh semua tetamu Allah yang hadir ke masjid,” kata pihak pengurusan masjid menerusi kenyataan di Facebook.Selain itu pihak masjid turut menjelaskan kebanyakan individu yang mengambil air tersebut adalah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.Dalam masa sama, pihak masjid juga mengingatkan semua jemaah supaya mengambil air sekadar mengikut keperluan agar kemudahan itu dapat dinikmati bersama.“Semoga Allah SWT menerima setiap amal jariah para penyumbang dan pewakaf serta mengurniakan keberkatan kepada kita semua,” katanya.