MV Aina Abdul beri gambaran buruk kepada pesakit mental, NGO minta henti sebarkan - Hiburan | mStar

MV Aina Abdul beri gambaran buruk kepada pesakit mental, NGO minta henti sebarkan

Muzik video Aina Abdul berjudul Sumpah didakwa memberi gambaran buruk terhadap penghidap Skizofrenia.

PERSATUAN Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) mengecam muzik video Sumpah nyanyian Aina Abdul yang memberi gambaran buruk terhadap penghidap masalah mental iaitu skizofrenia.

Setiaushanya, Zakirah Zakaria berkata, paparan menerusi klip video berdurasi 4 minit 42 saat itu memberi gambaran buruk dan  mengelirukan malah bertentangan dengan realiti pesakit skizo.

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul bangkit dengan ‘Sumpah’ selepas alami kemurungan

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Puteri Iman tampil tangani isu kesihatan mental, kini dilantik penaung diraja Miasa

"Baru-baru ini, Aina mengeluarkan sebuah muzik video bertajuk Sumpah yang kononnya menggambarkan tentang pesakit skizofrenia, iaitu sejenis penyakit mental yang kronik dan highly stigmatized.

"Ini adalah gambaran yang amat tidak tepat kerana realitinya, ramai pesakit skizo di luar sana yang bukan sahaja tidak ganas, malahan hidup dengan harmoni dengan keluarga masing-masing.

"Jadi, gambaran dalam video ini adalah salah dan amat mengelirukan," katanya.

Badan bukan kerajaan (NGO) mengeluarkan kenyataan itu menerusi sebuah posting yang dimuatnaik di Facebook rasmi Miasa pada Ahad.

Zakirah memuat naik kenyataan di Facebook rasmi Miasa.

Terdahulu, peserta Mentor Legend 2014, Aina Abdul melancarkan single dan video muzik terbaharunya berjudul Sumpah pada 27 Mac lalu.

Aina berkata, lagu Sumpah itu dihasilkan daripada pengalamannya sebelum ini selain masalah kemurungan yang dihadapinya.

Dalam pada itu, Zakirah, muzik video terbabit juga tidak sesuai dipertontonkan kepada orang ramai kerana mengandungi unsur dan babak pembunuhan ngeri.

"Menurut saudari Aina, niat beliau ialah untuk memberi kesedaran tentang penyakit mental.

"Namun, kandungan muzik video itu amat tidak sesuai kerana mengandungi babak-babak “homicide” (pembunuhan), sekaligus menguatkan stigma bahawa pesakit skizo adalah berbahaya kepada orang sekeliling.

"Ini pertama kali saya mendengar tentang saudari @ainaabdul seorang artis tempatan yang dikhabarkan menghidap penyakit kemurungan. Saya tidak pernah mengenali beliau sebelum ini kerana tidak mengikuti perkembangan industri hiburan sejak sekian lama," tulisnya.

Muzik video Aina berjudul Sumpah turut menampilkan Qi Razali.

Dalam pada itu, Zakirah menjelaskan dia berasa terpanggil untuk bersuara mengenai video berkenaan yang dianggap telah menyinggung perasaan orang ramai lebih-lebih lagi pesakit mental sendiri.

Menerusi cacatan itu, Zakirah turut menjemput Aina bersua mata bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.

"Kenapa saya terpanggil untuk mengulas tentang muzik video ini? Kerana saya mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit skizo, dan saya mengenali ramai pesakit skizo yang baik-baik semuanya.

"Kepada saudari Aina, saya doakan agar anda dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang halal lagi berkat.

"Jemput datang ke MIASA Malaysia di Damansara Perdana, boleh kita berbincang tentang penyakit mental dengan lebih lanjut, ujarnya.

Aina menghasilkan lagu Sumpah daripada pengalaman sebelum ini selain masalah kemurungan dihadapinya.

Zakirah turut meminta orang ramai untuk menghormati dan berhenti dari menyebarkan video berkenaan kerana bimbang akan memberi kefahaman tidak tepat mengenai penyakit mental.

"Kepada saudara saudari sekalian, mohon jangan sebarkan video itu kerana bimbang akan menyebarkan fahaman tidak tepat tentang penyakit mental.

"Sama-sama kita perangi stigma terhadap penyakit mental dan membantu para pesakit untuk bangkit agar mereka dapat menjalani kehidupan yang bermakna dan bahagia," katanya.

MIASA merupakan NGO yang ditubuhkan September tahun lalu bagi mempromosikan kepentingan kesihatan mental dalam menyediakan sokongan kepada pesakit dan penjagaan melalui pelbagai inisiatif.

Aina Abdul , skizofrenia , Sumpah

Artikel Lain