Aina Abdul bangkit dengan ‘Sumpah’ selepas alami kemurungan - Hiburan | mStar

Aina Abdul bangkit dengan ‘Sumpah’ selepas alami kemurungan

PENYANYI Aina Abdul mendedahkan dia pernah mengalami masalah kemurungan ekoran karier seninya tidak menyerlah sejak pertandingan Mentor Legend 2014 berakhir.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 26, berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk merancakkan karier nyanyiannya namun ia tetap tidak menjadi menyebabkan dia tertekan dan mengalami masalah rendah diri.

“Apabila semua yang saya lakukan tidak menjadi ia membuatkan saya tertekan sehingga saya berada dalam keadaan kemurungan selain tiada keyakinan diri.

“Sejak itu saya jadi banyak berfikir dan sentiasa mempersoalkan setiap tindakan saya menyebabkan saya jadi ragu-ragu untuk keluar dengan lagu baru.

Penyanyi Aina Abdul berkerja sama dengan Qi Razali yang tampil dalam video muziknya. FOTO: Art Chen

“Melihat rakan-rakan seangkatan aktif dengan karier masing-masing membuatkan saya lebih rendah diri namun saya sedar masa saya belum tiba,” katanya kepada mStar Online.

Aina ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik terbaharunya berjudul Sumpah yang diadakan pada Selasa.

Video muzik itu turut menampilkan pengacara dan pelakon Qi Razali.

Untuk rekod, Aina bergelar naib juara program Mentor Legend  bawah penyanyi terkenal Ella.

Dalam pada itu, Aina berkata, dia mula mendapat kembali keyakinan dirinya apabila single berbahasa Inggerisnya, Shadow mendapat perhatian pendengar pada akhir tahu lalu.

Malah kata Aina, lagu Sumpah dihasilkan daripada pengalamannya sebelum ini selain masalah kemurungan dihadapinya.

“Apa yang berlaku sebelum ini saya nampak ada hikmahnya... Kalau tidak mungkin saya tidak dapat idea dan inspirasi menghasilkan Sumpah.

“Sebenarnya lagu ini mengangkat kisah kemurungan memandangkan saya sendiri mengalaminya selain pengalaman rakan-rakan terdekat,” jelasnya.

Tambah Aina, dia turut mengangkat masalah mental dalam muzik video lagu tersebut dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang perkara itu.

Sementara itu, Aina berkata, dia kini lebih positif dalam merancakkan kembali karier seninya selain sudah menyusun pelbagai aktiviti bagi mempromosikan Sumpah.

“Sekarang saya sudah tidak fikir semua perkara sebelum ini dan hanya buat apa yang saya rasa baik untuk karier saya.

“Paling penting saya kena yakin dan percaya rezeki saya akan tiba suatu hari nanti,” ujarnya.

Aina Abdul

Artikel Lain