suria

‘Pening’ punya hal, Nabil Ahmad ditawar jadi duta produk sakit kepala

Nabil Ahmad tidak menyangka single terbaharunya berjudul Pening mendapat sambutan pendengar.

PELAWAK dan pengacara Nabil Ahmad tidak menyangka keputusannya melancarkan single pertamanya yang berjudul Pening membawa tuah apabila dia ditawarkan menjadi duta produk ubat sakit kepala.

Nabil berkata, dia dihubungi pihak pengurusan produk berkenaan hanya selepas sebulan lagu itu dilancarkan yang ingin menggunakan lagu tersebut dalam iklan produk mereka dan mengambilnya sebagai duta.

"Jujurnya saya memang langsung tak menyangka sampai ada pihak mahu mengambil saya sebagai duta kerana ketika menghasilkan lagu itu saya sebenarnya buat sekadar suka-suka dan ingin mencuba.

"Awalnya saya terkejut juga kerana ingatkan mereka main-main tetapi Alhamdulillah ini namanya rezeki," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan dituduh syok sendiri... Neelofa dan Nabil tarik diri dicalonkan dalam AME2019

Nabil dan Neelofa tarik diri daripada dicalonkan pada AME2019.

Pening ciptaan DJ Fuzz dan WARIS  yang dilancarkan pada 23 Januari lalu sehingga kini sudah pun mendapat 1.2 juta tontonan di YouTube.

Dalam pada itu, Nabil berkata, dia tidak menolak kemungkinan untuk lebih bergiat aktif dalam bidang nyanyian selepas penerimaan pendengar terhadap Pening sangat baik.

Kata Nabil, dia tampil sebagai penyanyi bukan untuk bersaing dengan nama sedia ada sebaliknya hanya ingin mencuba sesuatu  baharu selain mengembalikan pelawak yang menyanyi.

"Sebenarnya sudah banyak pelawak yang jadi penyanyi seperti Zizan Razak dan Achey tetapi lagu yang dihasilkan lebih 'serius' bukan berbentuk humor.

"Selain ingin mencuba saya sebenarnya nak kembalikan zaman kegemilangan pelawak yang menyanyi lagu-lagu berunsurkan komedi seperti Jalil Hamid, Din Beramboi dan Salih Yaakob pernah buat pada zaman 1990-an.

Nabil mahu mengembalikan lagu-lagu berunsur humor. 

"Alhamdulillah Pening pendengar terima dengan baik dan jika ada rezeki saya akan tampil dengan lagu lain selepas ini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nabil berkata, keputusannya mengundurkan diri daripada dicalonkan pada Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) sudah difikirkan sejak tahun lalu lagi.

Kata Nabil, dia merasakan tidak kena apabila pengacara program MeleTOP bertanding dalam acara itu kerana tidak mahu dikatakan syok sendiri.

"Tahun lalu lagi saya dan Neelofa dah fikir nak tarik diri... Dalam memastikan anugerah itu legit dan sihat saya rasa adalah lebih baik kami tidak bertanding dan hanya fokus sebagai pengacara sahaja," ujarnya.

AME2019 bakal berlangsung pada 21 April depan di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Nabil Ahmad, Pening

Artikel Berkaitan

Artikel Lain