suria

Saharul Ridzwan bercampur dengan orang bisnes, mahu kembangkan jenama tudung

Saharul Ridzwan mahu lebih fokus kepada bidang perniagaan tudung yang diusahakan bersama isteri.

PENGLIBATAN selebriti dalam bidang perniagaan bukan baharu malah ramai di antara mereka sudah pun berjaya dengan produk dihasilkan dalam menjana pendapatan.

Pelakon Saharul Ridzwan juga tidak mahu ketinggalan untuk menceburkan diri dalam perniagaan kerana merasakan tidak boleh hanya mengharap kepada bidang lakonan semata-mata.

Ini kerana kata Saharul, sebagai seorang lelaki yang sudah berkahwin dia perlu sentiasa memajukan diri demi menjamin masa depan keluarganya.

Malah beritahunya, tahun ini dia akan lebih serius dalam memajukan perniagaan tudung bersama isteri, Qaabila Deena Emir yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan.

Saharul memang meminati bidang perniagaan sejak dahulu.

"Tahun ini selain daripada lakonan saya bersama isteri akan lebih memberi fokus kepada perniagaan tudung iaitu Qaabila.

"Rezeki ini luas dan perniagaan adalah salah satu daripadanya... Apabila sudah berkahwin saya tidak boleh lagi berfikir tentang diri sendiri sahaja sebaliknya saya ada isteri dan anak untuk diberi perhatian.

"Bekerja sebagai pelakon ini almaklum sahaja bukannya ada gaji tetap apatah lagi perlindungan seperti KWSP jadi ini usaha saya untuk majukan diri sebagai persediaan masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Saharul berkata, sejak dari dahulu lagi dia memang berminat dengan dunia perniagaan namun merasakan minat itu sahaja tidak mencukupi.

Saharul banyak bercampur gaul dengan orang bisnes.

Atas dasar itu juga katanya, dia banyak bercampur gaul dengan ahli perniagaan untuk menimba ilmu agar objektifnya tidak terpesong.

"Apabila bercampur gaul dengan orang bisnes bukan sahaja dapat ilmu tapi aura dan semangat mereka itu Insya-Allah datang pada kita.

"Antara ahli perniagaan yang saya sering minta nasihat dan ilmu adalah Fizo Omar... Dia pernah mengalami pelbagai cabaran termasuk ditipu, itu membuatkan saya kagum dengan dirinya.

"Fizo juga tidak lokek kongsi ilmu dan rahsia kejayaannya membuatkan saya bersemangat ingin memajukan diri," ujarnya.

Saharul Ridzwan

Artikel Lain