Ayda Jebat tak boleh cakap ‘ya’ atau ‘tidak’ - Hiburan | mStar

Ayda Jebat tak boleh cakap ‘ya’ atau ‘tidak’

Ayda menyukai lagu-lagu dangdut sejak kecil lagi.

PENYANYI Ayda Jebat memberitahu dia tidak boleh memberi kepastian sama ada mahu mengekalkan genre dangdut sebagai keutamaannya atau tidak.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 27, berkata dia gemar membuat eksperimen dalam bidang muzik dan lakonan untuk melihat sejauh mana kredibilitinya.

"Saya suka buat eksperimen dalam muzik dan dalam lakonan juga kita kena bawa watak-watak berbeza untuk tahu kredibiliti kita macam mana.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayda Jebat fokus nyanyian, hanya ambil satu tawaran berlakon drama


Ayda tidak tahu mahu mengekalkan genre dangdut atau tidak.

"Watak itu sesuai atau tidak dan bagus atau tidak kita lakukan. Dari awal lagu saya seperti Pencuri Hati, Mata dan Nakal Nakal Nakal semuanya berbeza.

"Sama juga dengan lagu Temberang itu. Jadi, nak kata saya nak kekal genre dangdut tu, satu benda yang saya tak boleh cakap ya atau tidak," katanya kepada mStar Online.

Lagu terbaharunya berjudul Temberang yang dilancarkan 21 Disember tahun lalu kini sudah mencecah lebih 9.9 juta tontonan.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Cinta Bukan Kristal ini sejak kecil lagi sudah menyukai lagu-lagu dangdut.

Ayda anggap satu penghargaan sekiranya peminat mengelarkan dia sebagai penyanyi dangdut.

Bagaimanapun, Ayda tidak mahu dianggap sebagai penyanyi dangdut sahaja namun menghargai sekiranya ada peminat memberi gelaran tersebut kepadanya.

"Saya sangat sukakan dangdut. Kalau nak ikutkan, saya mula menyanyi sejak usia lima atau enam tahun dan lagu saya nyanyikan ketika itu semuanya dangdut.

"Satu-satunya bukan dangdut hanyalah lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza. Kalau ada yang nak label saya penyanyi dangdut, bagi saya ia satu penghargaan untuk dapat gelaran tersebut.

"Sebab tak ramai penyanyi yang memilih genre tu. Tapi saya tak nak letakkan Ayda Jebat sebagai penyanyi dangdut sahaja tapi berkebolehan menyanyikan lagu genre itu," ujarnya.

Ayda Jebat

Artikel Sebelum

Artikel Lain

'Messi Jepun' sertai Real Madrid