‘Vroom Vroom’ dah lancar tapi tiada orang tonton? Itu bukan gimik - Nabila Razali - Hiburan | mStar

‘Vroom Vroom’ dah lancar tapi tiada orang tonton? Itu bukan gimik - Nabila Razali

Nabila bersama pelakon Fendy Bakry menjayakan muzik video Vroom Vroom.

PENYANYI Nabila Razali kecewa apabila video muzik berjudul Vroom Vroom yang dilancarkan pada Rabu terjejas apabila saluran YouTube menghadapi masalah.

Nabila berkata, lagu itu masih tidak mencatatkan jumlah tontonan biarpun sudah enam jam dimuat naik sedangkan ia sudah menjadi bualan di media sosial.

"Kami lancarkan petang Rabu dan selepas enam jam masih lagi tidak mencatatkan berapa ramai ia ditonton, tidak logik kerana sehingga kini ia sudah menerima hampir 1,000 komen.

"Malah, ramai yang sudah mula kongsi di laman sosial masing-masing. Saya sudah membuat aduan dan pihak YouTube memberitahu sedang mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu,” ujarnya kepada mStar Online.

Nabila ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya Vroom Vroom yang diadakan The Bee, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum ni suka lelaki rambut panjang, kali ni Nabila Razali cari lelaki berparut pula

Ara, Sharifah Rose, Nia Atasha turut terlibat dalam muzik video Nabila Razali.

Muzik video tersebut turut dibintangi oleh Hael Husaini, Ara Johari, Sharifah Rose dan Nia Atasha.

Nabila menafikan dia melakukan perkara itu sebagai gimik untuk meraih perhatian masyarakat menonton muzik video tersebut.

"Tak mungkin gimik kerana perkara itu bukan bawah kawalan saya, siapa yang mahu perkara seperti ini berlaku. Bukan video saya seorang sahaja malah, ramai yang mengalami nasib sama hari ini.

"Saya harap pihak YouTube dapat menyelesaikan perkara itu secepat mungkin," ujarnya yang sebelum ini pernah membuat gimik putus cinta bersama Aedy Ashraf.

Hael Husaini komposer lagu Vroom Vroom

Dalam pada itu, bercerita tentang pemilihan Fendy Bakry, Nabila berkata aktor itu memenuhi ciri-ciri lelaki untuk video muzik tersebut.

Katanya, lelaki yang popular dengan drama Mr Grey itu mempunyai kriteria berparut, berkulit gelap dan tinggi. 

Saya sebelum ini mencari lelaki berparut, berkulit gelap dan tinggi dan ciri-ciri itu ada pada Fendy Bakry. 

Tambahan pula dia sedang popular sekarang ini selain saya berminat dengan drama yang dilakonkannya, apa salahya saya ambil dia dalam muzik video lagu baharu ini,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang tindakannya memadam foto dan menutup komen Instagram, Nabila berkata, ia bukanlah gimik sebaliknya, strategi pemasaran syarikat pengurusannya 1711 music. 

Saya dah janji tak nak buat gimik, saya padam gambar dan hanya memuat naik foto poster Vroom Vroom supaya pengikut saya fokus dengan produk baru itu. 

Saya tutup komen kerana tidak mahu aura negatif dikala saya ingin muncul dengan lagu baru ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas tentang lagu Vroom Vroom, Nabila berkata, ia mengisahkan tentang kehidupan wanita yang bangkit selepas dikecewakan kekasih. 

Katanya, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu merupakan kesinambungan lagu sebelum ini iaitu Pematah Hati dan Cemburu.

Muzik video Vroom Vroom boleh ditonton di laman YouTube 1711 music bermula Rabu.

Dalam pada itu masalah teknikal untuk video muzik berkenaan sudah berjaya dipulihkan dan jumlah yang dicatatkan pada pagi Khamis ialah lebih 129,000 kali tontonan

Nabila Razali , Fendy Bakry , Vroom Vroom

Artikel Lain