suria

Syaiful (Zero) terkilan dua kali tak dapat sambut kelahiran anak

Syaiful bersama isteri Ashura Rudy dan dua anak mereka Muhammad Syarif Isyraq dan Dayang Asyafia.

ANGGOTA kumpulan Zero, Syaiful terkilan apabila sekali lagi tidak dapat menemani isterinya melahirkan anak kedua mereka, Dayang Asyafia yang dilahirkan pada 23 Disember lalu.

Syaiful atau Mohd Syaiful Doli Sharif, 30, berkata, sehingga kini dia belum berpeluang bertemu dengan bayi perempuannya itu kerana terikat dengan pertandingan Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) yang berakhir Jumaat lalu.

"Terkilan sangat sebenarnya tidak dapat bersama isteri ketika dia bertarung nyawa melahirkan anak kami tetapi inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan demi mencari rezeki buat keluarga.

"Sebenarnya masa anak pertama kami dilahirkan pun saya tidak dapat menyambutnya kerana sedang bertanding dalam MLM dan nampaknya sejarah itu berulang kembali.

Zero mendapat tempat ketiga pada pertandingan MLM 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Shiro bawa pulang RM500,000 juara Maharaja Lawak Mega 2018

"Apa-apa pun saya bersyukur dengan rezeki diberikan Allah kepada kami sekeluarga dan tidak sabar hendak pulang ke Sabah bertemu isteri dan anak-anak," katanya kepada mStar Online.

Pada pertandingan itu, Zero yang turut dianggotai oleh Atu dan Syarif dan Atu muncul sebagai pemenang tempat ketiga sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi.

Syaiful mendirikan rumah tangga dengan Ashura Rudy pada 24 Julai 2015 di Kampung Pantai Bahagia, Kudat Sabah dan hasil perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamaad Sharif Isyraq pada 5 Mei 2016.

Dalam pada itu, Syarif pula memberitahu mereka berkemungkinan tidak akan menyertai MLM musim akan datang kerana ingin memberi laluan kepada bakat-bakat baharu.

Trio adik-beradik Zero (dari kiri) Syarif, Syaiful dan Atu.

Pun begitu katanya, dia akan menyertai program realiti Bintang Bersama Bintang (BBB) di TV3 sebagai peserta solo tidak lama lagi.

"Rasanya sudah puas kami bertanding dalam MLM, apa kata kita bagi laluan kepada bakat baharu pula.

"Tetapi saya akan bertanding dalam musim terbaharu Bintang Bersama Bintang sebagai peserta solo dan agak gementar juga kerana tidak akan ditemani oleh adik-beradik saya.

"Bagaimanapun mereka akan tetap membantu saya dalam memberi idea dan sokongan," katanya.

Syaiful, Zero, MLM 2018

Artikel Lain