Tak lagi nyanyi versi cover, Salamayn lega mampu pertaruhkan lagu sendiri - Hiburan | mStar

Tak lagi nyanyi versi cover, Salamayn lega mampu pertaruhkan lagu sendiri

Kumpulan duo Salamayn yang dianggotai oleh Muhammad Naufal Mohamad Isa (kiri) dan Mohd Irwan Fariz Hassan Zaim. Foto Instagram @salamayn

SETELAH setahun menyanyikan pelbagai lagu artis terkenal versi cover, dua anak muda ini akhirnya memberanikan diri dengan mempertaruhkan single pertama.

Kumpulan duo ini mula dikenali di laman sosial Instagram dan YouTube, menerusi lagu-lagu yang diubah tajuk dan lirik, tetapi sarat dengan mesej Islamik dan positif.

Mahu dikenali sebagai Salamayn yang terdiri daripada Muhammad Naufal Mohamad Isa, 21, dan Mohd Irwan Fariz Hassan Zaim, 20, kedua-duanya merupakan rakan baik dan pelajar Diploma Pengajian Islam di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Abang, Kini Ustaz Pula Nak Tegur

ARTIKEL BERKAITAN: Lirik 'Di Hatimu' Untuk Yang Ditinggalkan, Penceramah Percaya Sufian Dah 'Move On'

Selain lagu-lagu artis tempatan, Salamayn turut pernah menyanyikan versi cover lagu kumpulan K-Pop.

Muhammad Naufal berkata, masa lama diambil untuk menghasilkan single kerana mahu mengumpul pengikut yang meminati lagu-lagu dendangan mereka dengan gaya tersendiri.

"Kami cuba macam-macam, daripada lagu artis versi cover, liriknya diubah sehingga lirik yang masih dikekalkan. Kita juga gunakan pengaruh K-Pop dengan menyanyikan lagu-lagu artis dari negara itu untuk menarik perhatian pendengar, terutama anak-anak muda.

"Selain itu, kesibukan dengan pengajian di universiti buat kami tangguh dulu (single). Alhamdulillah, sudah tiba masanya untuk kami bertapak dengan yakin dalam industri. 

"Lepas ni kami tak mahu hanya dibayangi nyanyi lagu-lagu versi cover dan pengaruh K-Pop, tapi kini lega sebab lebih ramai akan mengenali Salamayn dengan lagu sendiri," kata anak kelahiran Kampar, Perak ini kepada mStar Online.

Salamayn mengambil masa setahun sebelum mengeluarkan single pertama.

Salamayn yang merupakan artis naungan syarikat Aqada sebelum ini menyanyikan lagu-lagu versi cover seperti Sempurna versi cover 'Perfect' dendangan penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran, Surat Cinta untuk Baginda (Surat Cinta untuk Starla - Virgoun), Ustaz Nak Tegur (Abang Nak Tegur - Datuk Seri Aliff Syukri), Di Hatimu (Di Matamu - Sufian Suhaimi) dan Iman Di Mana (Bobo Di Mana - Datuk Seri Aliff Syukri), termasuk Semusim Cinta, versi cover lagu Spring day daripada kumpulan K-Pop, BTS. 

Mengenai single pertama yang mula diperkenalkan pada Jumaat malam lalu di Instagram, Mohd Irwan pula berkata, lagu tersebut berjudul Syutari iaitu singkatan kepada Syurga Tanpa Bidadari, ciptaan komposer, Omar K dan Ikhwan Fatanna, serta liriknya oleh pendakwah muda, Aiman Banna.

"Lagu Syutari mengisahkan seorang lelaki yang menyukai seorang wanita dan cuba mengejar untuk mengenalinya. Tidak berpuas hati mengetahui wanita itu sudah berpunya, dia cuba bertanyakan kepada ibu wanita berkenaan.

"Rupa-rupanya wanita itu sebenarnya menyanjungi Baginda Rasullah SAW. Jadi, mesejnya wanita itu tidak mudah didekati, dan perlu meluahkan perasaan kepada keluarga wanita itu terlebih dahulu untuk menjadikan hubungan mereka halal, jika benar-benar mahu mengenali dan menyukainya," katanya yang baru menamatkan pengajiannya.

Muhammad Naufal (kiri) dan Mohd Irwan merupakan rakan karib dan belajar di universiti yang sama.

Tambah anak jati Gurun, Kedah ini, lagu Syutari berkonsepkan Pop dan melodinya lebih segar, bersesuaian dengan keadaan sekarang bagi menarik minat golongan muda.

"Anak-anak muda sekarang menyukai lagu-lagu Pop dan 'catchy', jadi itu yang kami cuba bawakan, tetapi sarat dengan mesej-mesej yang positif.

"Kami berharap single ini mendapat sambutan dan menjadi permulaan untuk kami mengembangkan bakat dan berkongsi mesej positif menerusi lagu," katanya, sambil menambah tidak menolak untuk terus menyanyikan lagu-lagu versi cover berdasarkan permintaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Sultan Ahmad Shah mangkat