suria

Selepas Abang, Kini Ustaz Pula Nak Tegur

Kumpulan nasyid duo, Salamayn (kiri) menyanyikan lagu 'Ustaz Nak Tegur' versi cover lagu 'Abang Nak Tegur, nyanyian Aliff Syukri.

PETALING JAYA: Selepas dua versi lagu ‘Abang Nak Tegur’ nyanyian usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, kini muncul satu lagi lagu versi cover yang berunsur islamik. 

Diberi tajuk ‘Ustaz Nak Tegur’, lagu berkenaan yang diubah suai liriknya seperti teguran seorang ustaz mengenai percintaan yang sarat dengan mesej.

Ia dinyanyikan oleh kumpulan nasyid duo yang menggelarkan diri mereka sebagai Salamayn, terdiri daripada Muhammad Naufal Mohamad Isa dan Irwan Fariz Hassan Zaim, kedua-duanya berumur 21 tahun.

Bercakap kepada mStar Online, Muhammad Naufal atau lebih dikenali sebagai Naufal berkata, kumpulan mereka baru ditubuhkan akhir tahun lalu di bawah syarikat penerbitan dan produksi, Aqada Institute.

“Lagu ‘Ustaz Nak Tegur’ adalah versi cover lagu Datuk Seri Aliff dan liriknya diubah berkonsepkan islamik tetapi masih mengenai cinta.

"Kami mempunyai dua single iaitu Sempurna dan lagu Surat Cinta untuk Baginda, masing-masing dikeluarkan akhir Disember lalu dan awal bulan ini,” katanya.

Lagu Sempurna merupakan versi cover lagu 'Perfect' dendangan penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran.

Salamayn bersama Abang Petir untuk lagu 'Ustaz Nak Tegur.

Naufal berkata, mereka merupakan kumpulan nasyid duo yang menyanyikan lagu-lagu berkonsepkan islamik dan ketuhanan tetapi menggunakan lagu-lagu yang lebih segar, lari daripada tipikal lagu-lagu nasyid.

“Antara matlamat kami adalah mahu menarik golongan muda yang menyukai hiburan kepada lagu-lagu yang mempunyai mesej dan nasihat bermanfaat,” katanya.

Kedua-dua anak muda ini merupakan rakan baik dan menuntut jurusan Diploma Pengajian Islam Semester Lima di Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak. 

Aliff Syukri bersama isteri, Nur Shahida dan Nur Sajat untuk lagu 'Abang Nak Tegur'.

Mengenai lagu ‘Abang Nak Tegur’, Naufal berkata, ia menarik perhatian ramai dan berharap lagu versi mereka turut diterima baik orang ramai terutama usahawan kosmetik itu.

“Kami berharap Datuk Seri Aliff menyukai lagu cover ini dan dapat bergabung dengan beliau untuk menyanyikan bersama-sama sekiranya diberikan peluang,” katanya.

Lagu 'Ustaz Nak Tegur' yang dinyanyikan Salamayn turut berduet dengan Abang Petir (Aqada TV) dengan lirik nukilan Aiman Banna. 

Lagu ‘Abang Nak Tegur’ nyanyian Aliff merupakan ciptaan Edry Abdul Halim dan mempunyai dua versi duet, bersama usahawan kosmetik, Nur Sajat dan isteri Aliff, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain