“Tak sabar nak tambah baby…” - Amyra Rosli - Hiburan | mStar

“Tak sabar nak tambah baby…” - Amyra Rosli

Amyra dan Amar bersama anak lelaki mereka Aqeef Anaqi. Foto Instagram @aamyrarosli

PELAKON Amyra Rosli memberitahu dia ada terfikir untuk hamil anak kedua memandangkan anak lelakinya Aqeef Anaqi sudah pun berusia setahun.

Bagaimanapun kata Amyra, jadualnya yang padat sepanjang tahun hadapan termasuk bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Nur 2 pada Januari selama dua bulan membuatkan dia berfikir kembali perancangannya itu.

"Kalau ikutkan memang nak malah tak sabar rasanya nak tambah baby tapi nampaknya bukan sekarang.

"Selain jadual saya yang padat rasanya buat masa ini saya dan suami ingin memberi fokus kepada Anaqi terlebih dahulu... Dia pun tengah lasak sekarang," katanya kepada mStar Online.

Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli, 27, berkahwin dengan aktor Amar Baharin November 2016 dan pasangan ini dikurniakan putera sulung pada 15 Oktober tahun lalu.

Pasangan bahagia... Amyra dan Amar. 

Dalam pada itu, Amyra berkata, dia teruja untuk kembali ke set Nur 2 walaupun sedar bebanan yang harus dipukul memandangkan ramai menantikan kemunculan sekual drama tersebut.

Pun begitu kata Amyra, dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkara tersebut sebaliknya lebih menumpukan terhadap skrip serta visi pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin bagi menjayakan wataknya.

"Saya tidak menganggap Nur 2 ini adalah sambungan kepada siri pertama sebaliknya ia karya segar kerana menerusi cara itu saya boleh beri kelainan dalam watak saya.

"Saya sedar harapan peminat itu tinggi tetapi paling penting ketika berada di set saya berikan terbaik," ujarnya.

Nur 2 dijangka bakal ditayangkan pada Mac depan.

Amyra Rosli , Amar Baharin , Nur 2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain