Aziz tak sangka, promosi figura mini 'Profesor Amir Hamzah' XX Ray 3 laris - Hiburan | mStar

Aziz tak sangka, promosi figura mini 'Profesor Amir Hamzah' XX Ray 3 laris

Pengarah XX Ray 3, Aziz M. Osman dan pelakon Adam John bersama figura mini Profesor Amir Hamzah yang dijual secara eksklusif. Foto AZHAR MAHFOF

FILEM popular era 1990-an iaitu XX Ray mengorak langkah apabila tampil dengan figura mini karakter Profesor Amir Hamzah lakonan Aziz M. Osman sebagai koleksi eksklusif buat peminat setianya.

Aziz, 56, yang juga pengarah filem berkenaan memberitahu idea menghasilkan figura mini itu adalah usaha salah seorang pelakon sekual XX Ray 3, Adam John bersama pasukannya sebagai salah satu aktiviti mempromosikan naskhah terbaharu itu.

"Jujur saya katakan pada awalnya saya ada rasa ragu-ragu apabila Adam beritahu dia mahu lancarkan koleksi figura mini Profesor Amir Hamzah kerana merasakan tiada siapa yang ingin beli.

Aziz bergambar bersama figura Profesor Amir Hamzah dan poster XX Ray 3.

"Tapi Alhamdulilllah saya sendiri tidak menyangka sambutan yang diberikan terhadap figura ini cukup luar biasa terutamanya dalam kalangan penggemar figura.

"Saya harus beri pujian kepada Adam dan pasukannya kerana usaha mereka ini sedikit sebanyak dapat memberikan promosi kepada XX Ray 3 yang akan ditayangkan tidak lama lagi," katanya.

Aziz ditemui pada majlis pelancaran figura mini itu bersama peminat yang diadakan Amcorp Mall baru-baru ini.

Sebanyak 200 unit figura mini Profesor Amir Hamzah dikeluarkan yang dijual pada harga RM149.90 dan 100 daripadanya sudah pun habis terjual.

Aziz tidak mensasarkan kutipan tinggi untuk XX Ray 3. 

Dalam pada itu, Adam pula memberitahu, dia sendiri terkejut dengan sambutan luar biasa terhadap figura mini itu namun tidak bercadang untuk menambah pengeluaran figura tersebut kerana ia adalah koleksi terhad.

Pun begitu kata Adam, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mengeluarkan figura mini watak berbeza pada masa depan bagi memenuhi permintaan peminat.

"Alhamdulillah separuh sudah habis terjual walaupun tanpa sebarang publisiti meluas... Malah ada yang beli sampai tiga figura itu kerana ia koleksi yang sangat terhad.

"Ini juga bukti XX Ray mempunyai kelompok peminat yang ramai walaupun dua filem itu ditayangkan pada era 1990-an.

Aziz bergambar bersama peminat setia XX Ray.

"Paling penting figura Profesor Amir Hamzah ini adalah seratus peratus buatan tangan selain mempunyai nombor siri yang menjadikan ia koleksi eksklusif," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai XX Ray 3, Aziz berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi filem itu mendapat kutipan tinggi seperti mana beberapa filem lain sebelum ini.

Sebaliknya kata Aziz, dia menghasilkan siri ketiga itu kerana ia masih mempunyai kelompok peminat selain minatnya terhadap filem genre sains fiksyen.

"Berapa XX Ray 3 boleh kutip di pawagam itu bukan keutamaan saya namun yakin kelompok peminat sejak 1990-an akan kembali ke pawagam untuk membawa anak-anak, keluarga selain penyebaran mulut ke mulut mengenai filem ini.

Aziz bersama peminat cilik.

"Apa yang penting saya sudah menghasilkan yang terbaik kerana XX Ray itu sendiri sudah menjadi sebuah jenama dan saya mahu legasi itu diteruskan," katanya.

Selain Aziz dan Adam, XX Ray 3 menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Nonny Nadirah, Saiful Apek, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Rahim Razali.

Ia akan berada di pawagam bermula 24 Januari ini.

Lebih Artikel