suria

Sophia Fredskild enggan raih populariti ekspres

Sophia baru sahaja menghasilkan single berjudul Menanti Cinta, diikuti versi Inggeris Waiting For Love. FOTO: Yap Chee Hong

PENYANYI baharu, Sophia Fredksild enggan meraih populariti secara ekspres menerusi rancangan realiti kerana beranggapan ia tidak akan kekal lama.

Menurut Sophia, 20, dia memilih untuk berusaha sendiri dan yakin dengan bakat yang dimilikinya sehingga dikenali dalam industri seni tempatan dan global.

"Ada penyanyi yang berjaya menerusi rancangan realiti seperti X-Factor dan The Voice, ia sememangnya satu platform untuk menempa populariti dalam tempoh yang singkat.

"Namun populariti ekspres biasanya tidak kekal lama. Selepas setahun dua, nama mereka terus senyap. Saya sebagai penyanyi dan pencipta lagu berasa lebih selesa untuk melakukannya sendiri.

"Lihat sahaja Taylor Swift dan Ed Sheeran, mereka berusaha sangat lama sebelum dikenali. Saya juga tak kisah untuk mengikut haluan yang sama," ujarnya kepada mStar Online.


Sophia berkata, dia sanggup mengikuti kelas bahasa Malaysia agar lebih mudah untuk dia berinteraksi dengan peminat tempatan.

Sophia yang dibesarkan di Kuala Lumpur mencipta lagu sejak berusia 13 tahun dan mula dikenali menerusi lagu Go, koloborasinya dengan deejay tempatan, Cuurley yang turut dikenali Bo Ami.

Selain itu, dia juga pernah menghasilkan lagu dengan berjudul More Than You See pada awal tahun ini, ciptaan bersama seorang dj dari Russia, Alexey Dorokhov atau Dorox.

Dalam pada itu, gadis kacukan Malaysia dan Denmark itu baru sahaja melancarkan dua single berjudul Menanti Cinta, diikuti versi Inggeris yang diberi tajuk Waiting For Love.

Sophia berharap single Menanti Cinta bakal menawan selera pendengar di negara ini.

Biarpun kurang fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia, Sophia berharap single tersebut dapat mengukuhkan lagi namanya dalam kalangan pendengar tempatan.

"Saya hasilkan dua versi untuk lagu itu kerana saya sendiri suka menyanyi dalam dua-dua bahasa. Malah, ramai juga peminat yang minta saya hasilkan lagu Bahasa Malaysia.

"Saya dilahirkan di Denmark dan dibesarkan di sini, tetapi agak kurang fasih berbahasa Malaysia. Saya tak mahu kekurangan itu jadi penghalang untuk mencipta nama, maka hampir setahun juga saya ikuti kelas bahasa pada 2017.

"Bukan apa, kalau dapat bertutur dalam Bahasa Malaysia, senanglah saya nak berinteraksi dengan peminat tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain