Jiran terperangkap tak boleh keluar, cemas pokok tumbang di rumah Faizal Ismail - Hiburan | mStar

Jiran terperangkap tak boleh keluar, cemas pokok tumbang di rumah Faizal Ismail

Faizal berkongsi foto pokok yang tumbang dan menghempap pagar rumahnya dan seorang jiran pada kejadian pada petang Khamis. Foto Instagram @faizalfbi76

PENYAMPAI radio Faizal Ismail berhadapan situasi panik apabila sebatang pokok tumbang di hadapan rumahnya dan seorang jiran di Petaling Jaya pada petang Khamis.

Faizal berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 6 petang dia tidak berada di rumah dan bergegas pulang apabila dimaklumkan kejadian itu oleh anak sulungnya.

"Apabila anak saya hantar gambar menerusi mesej di WhatsApp, saya bergegas pulang dan Alhamdulillah tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.

"Pun begitu, batang pokok itu yang menghempap pintu pagar rumah jiran menyebabkan mereka terperangkap dan tidak boleh keluar," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Kata Faizal, keadaan pokok tersebut yang sudah tua berkemungkinan penyebab utama ia tumbang selain cuaca hujan dan angin ribut sejak kebelakangan ini.

Faizal menyifatkan kejadian itu sebagai ujian kecil.

Dalam pada itu, Faizal memuji tindakan pantas pasukan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang datang menghulurkan bantuan walaupun terdapat 10 kes sama di kawasan sekitar akibat hujan lebat.

"Sebenarnya banyak pokok di perumahan ini dan kawasan sekitar yang sudah tua dan menanti masa untuk tumbang.

"Saya kira sudah tiba masanya pihak berkuasa lebih memandang berat terhadap perkara ini agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Penduduk juga perlu memainkan peranan kerana daripada apa yang diberitahu ada enggan memberikan kerjasama apabila MBPJ ingin menebang atau mencantas pokok selain meletakkan kereta di bawah pokok, menyukarkan lagi tugas mereka," katanya.

Sementara itu, Faizal berkata, dia menganggap kejadian menimpa keluarganya itu sebagai ujian kecil daripada Tuhan dan bersyukur tiada sebarang insiden buruk berlaku kepada keluarganya.

Faizal Ismail , MBPJ

Artikel Lain