suria

‘Paskal’ meletup tapi nama Taufiq Hanafi tetap ditolak stesen TV

Taufiq tidak berasa sedih biarpun namanya sudah beberapa kali ditolak stesen TV. Foto Instagram: @taufiqhanafi.

PELAKON Taufiq Hanafi memberitahu dia pernah beberapa kali ditawarkan memegang salah satu watak utama untuk drama namun namanya ditolak stesen televisyen.

Namun Taufiq atau nama sebenarnya Mohamad Taufiq Mohd Hanafi, 27, berkata dia tidak berasa sedih dan menganggap rezeki akan datang yang lebih baik.

"Sebelum ini saya ada juga beberapa kali terima tawaran salah satu watak utama untuk drama tapi setiap kali nama dihantar ke stesen TV mesti kena tolak.

Watak sebagai Ustad menerusi filem Paskal The Movie menaikkan nama Taufiq.

"Mungkin sebab nama saya belum cukup kuat dalam industri seni. Tapi saya tak pernah bersedih mengenai perkara itu.

"Bagi saya, rezeki itu ada. Mungkin nama saya ditolak tapi ada rezeki yang lebih baik akan datang," kata Taufiq kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Taufiq bersyukur apabila wataknya sebagai Ustad menerusi filem Paskal The Movie membantu menaikkan namanya.

Biarpun sudah mula dikenali, pelakon Ola Bola The Movie ini enggan meletakkan dirinya sebagai seorang selebriti atau artis.

Lakonan Taufiq mendapat pujian ramai.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira watak Ustad dalam Paskal The Movie membantu menaikkan nama saya.

"Biarpun sebelum ini saya ada juga berlakon dalam filem Ola Bola dan telefilem Gantung namun filem aksi ketenteraan ini yang menyebabkan orang lebih mengenali saya.

"Tapi sebolehnya saya tak nak letakkan diri sebagai selebriti atau artis. Lebih baik orang kenal saya sebagai seorang pelakon sahaja," ujarnya.

Taufiq Hanafi, Paskal The Movie

Artikel Berikut

Artikel Lain