suria

Pelakon berdialog ketika prosedur intubat, pengarah minta maaf

Babak lakonan Sura Sojangi dikritik netizen.

PENGARAH drama, Mohd Fazli Yahya memohon maaf dan mengakui kesalahannya dalam adegan di sebuah hospital menerusi drama Cinta Koko Coklat.

Fazli atau lebih mesra dengan panggilan Pali Yahya, berkata dia ada merujuk kepada pihak hospital sebelum melakukan babak tersebut ketika pesakit melalui prosedur intubat.

"Berkenaan dengan babak itu, saya akui kesalahan itu dan ia datang daripada kelemahan saya juga.

"Tapi untuk pengetahuan semua, sudah tentu saya ada merujuk pihak hospital untuk setiap babak yang melibatkan hospital.

"Babak tersebut bukan dilakukan dengan sengaja tanpa rujukan," kata Pali kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: X-Ray boleh kesan hilang ingatan? Pengarah ‘Mona Lisa’ mengaku cuai


Netizen mempersoalkan pihak produksi tidak melakukan rujukan sebelum melakukan babak yang melibatkan amalan perubatan.

Pali diminta mengulas mengenai babak pelakon Sura Sojangi sedang berdialog dengan doktor ketika saluran tiub atau intubat dimasukkan ke dalam saluran mulut bagi tujuan rawatan.

Seharusnya sesiapa yang melalui proses itu tidak boleh bercakap dan adegan yang ditonjolkan itu seharusnya tidak berlaku jika seseorang mendapatkan rawatan sebenar.

Ramai netizen menganggap kesilapan dilakukan pengarah drama tersebut disebabkan dia tidak melakukan kajian terlebih dahulu.

Menurut pengarah berkenaan, penggambaran tersebut telah dijalankan di KPJ Rawang Specialist Hospital.

Menurutnya, setiap dialog dan tindakan yang melibatkan fakta telah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak hospital tersebut.

"Masa itu, penggambaran dijalankan di KPJ Rawang dan bukan hospital studio. Jadi, kita selalunya dari pihak produksi akan rujuk pihak hospital atau sesiapa yang berkenaan setiap babak yang melibatkan tahap seseorang pesakit itu.

"Dalam babak yang viral, dialog-dialog juga akan dirujuk terlebih dahulu atau kejadian yang berlaku dalam babak yang memerlukan fakta," ujarnya.

Barisan pelakon dan pengarah drama Cinta Koko Coklat.

Dalam pada itu, Pali akan lebih berhati-hati dalam setiap babak yang melibatkan bidang perubatan selepas ini.

"Insya-Allah selepas ini saya akan lebih berjaga-jaga dalam membuat sesuatu babak yang ada kaitan dengan pihak hospital dan perubatan," katanya.

Sebelum ini, drama bersiri Mona Lisa turut ada adegan bagaimana seorang doktor mengesahkan pesakit mengalami hilang ingatan menerusi kaedah imbasan x-ray yang mana ia bercanggah dengan amalan perubatan sebenar.

Drama Cinta Koko Coklat yang menemui penonton di  slot Glamadrama NTV7 menampilkan barisan pelakon seperti Aqasha, Zahirah Macwilson, Raja Afiq, Mimi Lana, Azrel Ismail, Sweet Qismina, dan ramai lagi.

Drama sebanyak 50 episod itu sudah mula bersiaran sejak 23 Julai lalu, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 8.30 malam ntv7.

Cinta Koko Coklat

Artikel Lain