suria

Fatin Husna belum sedia pindah ke KL

Fatin Husna semakin dikenali peminat dalam bidang nyanyian. Foto Instagram @fatinhusna_95

BINTANG baharu yang sedang meningkat naik, Fatin Husna memberitahu dia tidak merancang untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan karier seninya.

Fatin yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan berkata, buat masa ini dia melihat tiada sebarang keperluan untuknya berbuat demikian memandangkan jarak di antara dua lokasi tidak terlalu jauh.

Malah kata penyanyi berusia 23 tahun itu, dia akan menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api untuk ke Kuala Lumpur sekiranya ada undangan persembahan.

“Sekarang saya menetap di Seremban bersama keluarga dan sekiranya ada undangan persembahan atau aktiviti promosi saya akan naik kereta api untuk ke Kuala Lumpur.

“Kadang-kadang ada rakan yang teman tetapi kebiasaannya saya akan gunakan pengangkutan awam.

Bakat nyanyian Fatin dikesan menerusi paltform Smule.

“Tidak susah pun malah lebih mudah dan menjimatkan masa,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Fatin berkata, dia bersyukur lagu bersama Khai Bahar berjudul Rahsia Kita mendapat sambutan luar biasa peminat sekaligus memperkenalkan namanya sebagai penyanyi.

Fatin juga tidak menafikan populariti Khai dan lagu tersebut sedikit sebanyak memberi impak kepadanya namun berharap peminat menyukainya bukan kerana menumpang populariti Khai tetapi bakatnya sebagai penyanyi.

“Sebagai penyanyi baru sudah tentu saya teruja dapat berduet dengan Khai dan idea itu datang daripada syarikat rakaman kami.

Fatin dan Khai berduet menerusi lagu Rahsia Kita.

“Walaupun ada yang kata saya tumpang populariti Khai tetapi bagi saya kalau tiada bakat tak guna juga dan Alhamdulillah ramai suka lagu itu.

“Impak itu tidak saya nafikan tetapi seboleh-bolehnya saya mahu dikenali kerana bakat dan apa orang ingin katakan saya positif sahaja,” katanya.

Bercakap mengenai karier nyanyiannya, Fatin berkata, dia bermula menyanyi menerusi aplikasi Smule dan tidak menyangka bakatnya diintai oleh syarikat rakaman NAR Records.

Dedah Fatin, dia pada awalnya agak keberatan untuk menerima tawaran bergelar artis rakaman namun selepas berfikir secara mendalam dia akhirnya nekad mencuba nasib.

Dalam perkembangan lain, Fatin berkata, dia bakal muncul dengan single solonya tidak lama lagi hasil ciptaan Adi Sixth Sense.

Fatin Husna, Khai Bahar

Artikel Lain