suria

“Bukan nak tunjuk baik tapi…” - Khai Bahar

Khai Bahar sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berinteraksi dengan peminatnya di laman sosial.

PETALING JAYA: Penyanyi Khai Bahar memberitahu dia sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengekalkan komunikasi di antaranya dengan peminat sebagai tanda terima kasih terhadap sokongan mereka terhadapnya.

Atas sebab itu, Khai berkata, dia akan memastikan mencari waktu untuk membalas komen peminat di Instagram atau membuat video 'live' untuk berkongsi perkembangan terbaharunya selain menjawab soalan diutarakan pengikutnya.

Jelas Khai, walaupun jadual seninya sentiasa padat namun dia tetap akan mencari masa untuk berinteraksi bersama peminat dan tidak pernah menganggap ia sebagai satu bebanan.

"Saya bukan hendak tunjuk baik tapi ini cara saya menghargai peminat yang sebenarnya tidak terbalas jasa mereka yang sering menyokong saya.

"Zaman hari ini teknologi memang memudahkan kita dekat dengan peminat jadi ia sebenarnya tidak membebankan cuma perlu ada sedikit usaha dengan niat untuk menggembirakan peminat.

Khai Bahar bakal berduet dengan Siti Nordiana.

"Selalunya saya akan buat video 'live' untuk berinteraksi dengan peminat selain membalas komen yang ditinggalkan di Instagram," katanya.

Tambah Khai, sikap terbukanya dengan peminat sentiasa dibuat dengan berhati-hati kerana tidak mahu mengguris perasaan sesiapa.

Bercakap mengenai kerjayanya, Khai berkata, dia kini sedang sibuk dengan aktiviti promosi bersama Toyota selain sedang menyiapkan single terbaharunya bersama Siti Nordiana.

Kata Khai, dia sudah lama memasang impian untuk berduet dengannya dan berharap hasrat itu tercapai tidak lama lagi.

"Lagu sudah ada cuma sedang tunggu liriknya sahaja.

"Saya sendiri memang sudah lama memasang impian untuk berduet dengannya dan harap-harap impian itu terlaksana," ujarnya.

Khai Bahar

Artikel Lain