suria

Sudah tiba masanya Syamel berubah

Syamel ingin merakamkan lagu berentak rancak sebagai single terbaharunya.

PENYANYI Syamel memberitahu sudah tiba masanya dia mengubah haluan karier muziknya dengan menampilkan lagu berentak rancak selepas lima single terdahulunya mengetengahkan genre Balada.

Syamel berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat inspirasi dan rasa kagum terhadap idolanya, Bruno Mars ketika menyaksikan konsert penyanyi itu di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu.

"Saya memang peminat setia Bruno Mars sejak awak kemunculannya dan dia sentiasa buat saya kagum dengan persembahannya yang energetik dalam menghiburkan peminat.

"Peluang menonton konsertnya baru-baru ini buka mata saya yang saya juga perlu lakukan perubahan dan bukannya hanya menghasilkan lagu balada sahaja.

Syamel mahu tampilkan kelainan dalam muziknya.

"Seronok melihat penonton yang hadir berseronok dengan seleksi lagu-lagu dipersembahkan dan ia cukup mengagumkan," katanya.

Syamel ditemui pada rakaman program Akademi Fantasia Raya yang diadakan pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Syamel berkata, itu bukanlah bererti dia tidak lagi mahu merakamkan lagu berentak balada sebaliknya menjelaskan dia ingin melakukan pembaharuan agar kariernya sentiasa relevan.

Malah kata Syamel, dia yakin peminat dapat menerima perubahan muziknya jika karya dihasilkan kena dengan cita rasa pendengar.

Bruno Mars inspirasi Syamel.

"Jiwa saya memang balada tetapi dalam menjadi seorang penyanyi versetail saya perlu cuba lagu berentak lain.

"Saya bukan mahu menarik perhatian dengan kebolehan vokal sahaja tetapi sebagai penghibur dan buat penonton seronok melihat aksi saya di pentas.

"Peminat Insya-Allah akan terima jika lagu yang saya lancarkan itu kena dengan selera pendengar," ujarnya.

Sementara itu, Syamel berkata, dia kini sedang dalam proses mencari material untuk single terbaharunya dan berharap ia dapat dilancarkan pada tahun ini juga.

Syamel, Bruno Mars

Artikel Lain