suria

Syarikat pengurusan Syafiq Kyle mohon maaf

Pihak pengurusan pelakon Syafiq Kyle memohon maaf kepada penerbit drama Dekatkan Jarak Kita iaitu Sheila Rusly. Foto HAFIZ IDZLA/The Star

PIHAK pengurusan kepada pelakon Syafiq Kyle meminta maaf atas salah faham yang berlaku antaranya dengan Sheila Rusly sehingga gagal menjayakan drama Dekatkan Jarak Kita edisi raya.

Pengurus pelakon itu, Shawn Amer berkata, tarikh yang diminta pihak JS Pictures bertindih dengan jadual penggambaran drama Nur lakonan Syafiq untuk slot Samarinda bersama produksi lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah maklumkan 3 bulan awal, Sheila Rusly kesal pengurusan Syafiq Kyle

"Saya minta maaf kepada pihak JS Pictures kerana salah faham ini. Benar, mereka (JS Pictures) ada lock tarikh penggambaran iaitu 7 sehingga 15 Mei dengan menghubungi Syafiq sendiri tanpa melalui pihak pengurusan. Namun, jadual Syafiq masih ada sehari lagi penggambaran dengan produksi lain.

"Saya juga telah beritahu tarikh terkini kepada pengurus produksi berkenaan mengenai kelewatan tarikh penggambaran pada awal Mac dan produksi berkenaan sedia maklum.

Drama Dekatkan Jarak Kita menang trofi utama DFKL 2018.

"Kami cuba beri tarikh lain iaitu lewat sedikit pada 8 atau 9 Mac untuk penggambaran itu, bagaimanapun saya faham dan hormati keputusan JS Pictures yang tidak mahu menunda penggambaran tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Shawn berkata demikian bagi mengulas kenyataan Sheila Rusly yang kesal apabila terpaksa membatalkan hasratnya untuk menerbitkan drama Dekatkan Jarak Kita edisi raya.

Sheila turut berkata, dia kecewa dengan pihak pengurusan aktor itu apabila diberitahu jadual Syafiq sudah penuh walaupun JS Pictures telah memaklumkan tiga bulan lebih awal mengenai penggambaran drama berkenaan.

Dalam pada itu, Shawn berkata, situasi yang berlaku itu juga diketahui pihak stesen televisyen TV3.

"Syafiq mempunyai komitmen DFKL dan promosi TV untuk drama Nur sepanjang tarikh itu.

Gandingan Syafiq dan Ayda membawa tuah apabila membawa pulang trofi Pasangan Pilihan.

"Kami tidak pernah menarik diri dengan projek itu dan pihak mereka yang tidak mahu berkompromi dengan jadual yang ada," ujarnya.

Tambahnya, masalah itu timbul disebabkan komunikasi apabila Shiela berurusan terus kepada Syafiq, manakala pengurusan melalui pihak produksi. 

Bagaimanapun, Shawn berkata, dia masih berharap dapat bekerjasama dengan JS Pictures pada masa akan datang.

"Kami tidak mahu ada masalah dengan mana-mana produksi dan berharap sangat dapat bekerjasama untuk edisi raya haji," ujarnya.

Drama Dekatkan Jarak Kita yang dibintangi oleh Syafiq dan Ayda Jebat ini dipilih sebagai Drama Pilihan DFKL 2018 yang berlangsung pada malam Ahad.

Artikel Lain