suria

Lelaki Kongsi Kisah Terpaksa Menyamar Untuk Jumpa Siti

Syahril pernah menyamar untuk menyertai sidang media membabitkan penyanyi Siti Nurhaliza. Foto: GLENN GUAN / Facebook: Syahril A. Kadir

BEKAS wartawan, Syahril A. Kadir berkongsi keterujaan pertama kali bertemu dengan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza pada tahun 1996.

Menerusi laman Facebook miliknya, Syahril berkata, ketika itu dia masih bergelar pelajar kolej dan terpaksa melakukan penyamaran semata-mata ingin bertemu buah hati rakyat Malaysia ini.

Lelaki berusia 42 tahun ini memberanikan diri menghadiri sidang media yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara meskipun acara tersebut hanya membabitkan wartawan hiburan.

Lebih mendebarkan apabila penyambut tetamu bertanyakan organisasi media yang diwakili sehingga dia terpaksa mencari alasan kukuh yang lain bagi menyertai majlis tersebut.

"Alamak dah kantoi! Entah macam mana tiba-tiba boleh dapat idea dan beritahu saya kawan abang Siti iaitu Ayie.

"Untuk pengetahuan, Ayie ni dulu tinggal dekat rumah famili saya di Pandan Jaya, jadi selalulah nampak dia main takraw kat sana," katanya.

Syahril berkongsi gambar pertama yang dirakam bersama Siti Nurhaliza.

Sambung Syahril lagi, selepas majlis sidang media tersebut berakhir, dia melihat Siti sedang berehat di atas bangku sambil mengelap air mata.

"Awak, saya tahu awak tak nak ambil gambar dengan lelaki, tapi saya datang dari jauh ni, boleh tak kita bergambar, tapi kalau tak boleh tak apalah,” tanya Syahril kepada Siti.

Penyanyi lagu Jerat Percintaan itu bersetuju dengan permintaan Syahril walaupun awalnya dihalang oleh seorang petugas syarikat rakaman.

"Maaf ya, Siti tak suka ambil gambar dengan lelaki,” kata wanita tersebut.

"Tak apa kak, sekejap saja,” jawab Siti.

Perkongsian kisah menarik bersempena ulang tahun kelahiran Siti yang ke-39 ini menerima lebih 600 tanda suka dan puluhan komen di laman tersebut.

Syahril A. Kadir merupakan bekas wartawan dan penerbit di beberapa organisasi media dan kini menjalankan khidmat perundingan editorial dan konsultansi secara sepenuh masa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain