suria

Jom Santai Bersama Ruhainies, Tajul

Peminat Ruhainies dan Tajul, jom la kita lepak-lepak santai sambil berhibur bersama dua artis popular ini.

BUAT pertama kalinya, portal mStar Online bakal menganjurkan aktiviti peminat bersama selebriti dengan memilih aktres Ruhainies dan penyanyi Tajul Arif.

Program yang diberi nama Jom Santai Bersama Ruhainies dan Tajul ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pembaca mStar Online, kelab peminat dan juga artis. 

Ruhainies, 25, berkata dia bersetuju untuk turut serta dalam program ini kerana mStar Online antara media yang banyak membantunya sepanjang dia berada dalam industri seni. 

Malah dia juga berasa seronok dapat meluangkan masa bersama peminat menerusi acara sebegini. 

“Saya setuju untuk sertai program ini sebab mStar Online antara media yang banyak membantu dalam karier seni saya dari mula menceburi industri ini sampailah sekarang. 

Pemilik produk Chew n Glow iaitu Idzihar Rosland (dari kiri), Ruhainies, Tajul dan penaja lokasi Jom Santai, Muhammad Hakim Amir Hamzah.

“Selain itu, program bersama peminat ini sangat bagus kerana ia salah satu cara untuk saya menghargai jasa peminat. 

“Apabila ada program sebegini, saya juga dapat meluangkan masa dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu Tajul, 19, pula berkata, program bersama peminat seharusnya diadakan untuk membolehkan para artis mengenali mereka lebih rapat memandangkan peminat antara pihak yang banyak memberi sokongan kepadannya. 

“Tanpa peminat, siapalah saya. Mereka yang banyak memberi sokongan kepada saya sejak mula menjejak kaki dalam dunia nyanyian. 

“Program bersama peminat ini memang wajib diadakan untuk kenal mereka dengan lebih dekat. Jadi, saya teruja apabila mStar Online mengajak kelab peminat untuk melakukan aktiviti bersama saya,” katanya.

Tajul yang popular menerusi lagu Sedalam-Dalam Rindu memperoleh lebih 20 juta kali tontonan di YouTube untuk lagu itu.

Mereka ditemui ketika sesi fotografi bersama penaja utama program berkenaan iaitu produk Chew N’ Glow dan penaja lokasi, Cartel Coffee Shop yang diadakan di Menara  Star, Petaling Jaya pada Selasa.

Turut sama Pengarang mStar Online, Zainal Azhar Mohamed, Pengarang Hiburan, Niezam Abdullah, Pengurus Kanan Produk mStar, Michael Anthony Fredericks dan Pengurus Kanan, Pembangunan Perniagaan, Juniza Yasmin Hussein.

Chew n Glow Penaja Utama 

Sementara itu selaku penaja utama, Izdihar Rosland yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sun Fabulous Sdn Bhd berkata, dia perlu sertai program yang dianjurkan oleh pihak media bagi mempromosikan  produk jenamanya. 

“Syarikat dan produk Chew N’ Glow baru dalam pemasaran dan memandangkan perjalanan kami masih jauh, kami perlukan medium untuk mempromosikan jenama ini. 

Muhammad Hakim Amir Hamzah, Zainal Azhar, Ruhainies, Tajul, Izdihar Rosland dan Michael Anthony Fredericks.

“Dengan bekerjasama dengan program seperti ini dianjurkan ini, tambahan pula ada Ruhainies dan Tajul kami dapat promosikan produk kesihatan kulit ini dan orang dapat kenal syarikat saya,” kata Izdihar.

Chew n Glow ialah produk daripada ekstrak buah-buahan yang baik untuk kesihatan kulit selain boleh merawat penyakit khususnya ekzema.

Kukuhkan Jenama Cartel Coffee Shop 

Manakala salah seorang pemilik Cartel Coffee Shop, Muhammad Hakim Amir Hamzah mengambil peluang untuk memperkenalkan lagi jenama restorannya. 

“Program ini salah satu platform untuk kami memperkenalkan lagi restoran Cartel Coffee Shop kepada umum. 

“Malah, dengan menaja lokasi untuk program ini memberi peluang dari segi pemasaran memandangkan restoran kami baru memasuki tahun kedua,” kata Hakim. 

Program ramah mesra bersama artis ini menggabungkan dua kelab peminat dan mana-mana pihak yang berminat.

Tajul dan Ruhainies antara artis yang sedang meningkat naik. 

Ia akan diadakan pada 21 Oktober ini di Cartel Coffee Shop, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor. 

Pelbagai aktiviti akan diadakan bermula pukul 3 petang selain membolehkan peminat memperoleh hadiah misteri. 

Peminat Ruhainies dan Tajul yang ingin menyertai Jom Santai ini dikenakan bayaran sebanyak RM30. 

Penyertaan boleh dibuat dengan menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian 03-79671388 sambungan 1872.

Jom Santai, Ruhainies, Tajul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain