suria

Anak Tomok Dah Pandai Gubah Lagu

Tomok bersama isteri, Rahayu Abas (dari kiri) dan dua anak mereka iaitu Andra Andrashah Iman (dua dari kiri) dan Arrian Shah Akid (kanan). Foto Ihsan ASTRO

SIAPA sangka anak sulung kepada penyanyi Tomok iaitu Arrian Shah Akid yang baharu berusia lima tahun mempunyai kebolehan menggubah lagu untuk bapanya. 

Dedah Tomok, Arrian menggubah karya pertamanya untuk digunakan sebagai lagu tema program realiti Rockstar Junior: Arrian & Andra secara spontan sebelum ia diperkemaskan menjadi sebuah lagi lengkap. 

Kata Tomok lagi, ketika dia memperdengarkan lagu berjudul Rockstar Junior itu kepada pihak produksi mereka bersetuju agar lagu itu digunakan sebagai lagu tema program tersebut. 

“Saya memang sedang cari idea untuk hasilkan lagu untuk program itu dan tiba-tiba suatu hari isteri sempat merakamkan suara Arrian sedang menyanyi.

Arrian membantu Tomok mengubah lagu Rockstar Junior.

“Apabila saya dengar ia menarik dan terus saya cari melodi tambahan di piano dan terhasil sebuah lagu gabungan kami berdua,” katanya. 

Tomok ditemui pada pelancaran Rockstar Junior: Arrian & Andra yang diadakan di The Gardens Kuala Lumpur, Isnin. 

Program itu bakal bersiaran menerusi slot eBu, setiap Rabu pukul 9 malam bermula 11 Oktober ini di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Tambah menarik kata Tomok, Arrian turut berduet dengannya menerusi lagu itu yang dirakamkan sekitar Ogos lalu. 

Dalam pada itu, Tomok atau Shah Indrawan, 33, berkata, dia sudah bersedia dengan kritikan apabila bersetuju memaparkan aktiviti seharian dua anak lelakinya menerusi rancangan itu.

Tomok dan isteri, Rahayu berkongsi tips keibubapaan dengan penonton.

Kata Tomok, sebelum bersetuju menerima pelawaan Astro dia dan isterinya, Rahayu Abas sudah memikirkan sedalam-dalamnya mengenai kesan keputusan itu kerana niat mereka semata-mata ingin berkongsi perkara positif menerusi program lapan episod berkenaan. 

“Memang lama saya berbincang dengan pihak produksi sebelum bersetuju kerana banyak perkara perlu saya pertimbangkan termasuklah apa pandangan orang apabila program itu disiarkan nanti. 

“Tetapi saya sudah bersedia dengan apa sahaja kritikan dan bukannya saya tidak biasa dengan kata-kata negatif orang sepanjang 19 tahun karier saya dalam bidang seni,” katanya. 

Kata Tomok lagi, dia pada dasarnya tidak mempunyai masalah mendedahkan Arrian dan Andra dalam program televisyen kerana sebelum ini dia sering berkongsi aktiviti mereka di Instagram.

Program realiti Rockstar Junior bakal menemui penonton bermula Rabu ini.

Bagaimanapun kata Tomok, dia tidak mahu memberi fokus kepada perkara remeh kerana program itu sebenarnya bukan sekadar memaparkan aktiviti seharian anak-anaknya tetapi turut menyelitkan ilmu untuk ibu bapa. 

“Kami tidak pernah menggunakan bantuan pembantu dalam membesarkan anak-anak dan menerusi program ini kami ada berkongsi tips keibubapaan mengikut pengalaman kami dalam pelbagai situasi berbeza. 

“Tiada salah atau betul cuma kami kongsi apa yang positif dan baik yang mana maklumat itu mungkin berguna dan memberi manfaat kepada ibu bapa lain. 

“Sebelum ini pun saya dan isteri banyak mendapat pertanyaan tentang cara kami besarkan anak-anak dan kadang-kadang tak terjawab kesemuanya jadi harap program ini dapat membantu,” jelasnya.

Keluarga Tomok bergambar bersama orang kuat produksi program itu.

Bercakap mengenai cabaran ketika penggambaran, Tomok memberitahu ia berjalan lancar cuma pihak produksi perlu mengikut jadual dan ‘mood’ anak-anaknya. 

“Saya bimbang juga kerana tahu sahajalah budak-budak, sikap dan angin mereka sentiasa berubah-ubah tetapi Alhamdulillah produksi faham. 

“Arrian dan Andra pun nasib baik tidak malu dengan kamera jadi mudah sedikit penggambaran aktiviti mereka,” katanya.

Andra atau nama penuhnya Andrashah Iman berumur tiga tahun.

Tomok

Artikel Sebelum

Artikel Lain