suria

To'Ki Terbuka Terima Bantuan Seniman

Zed bersalaman dengan To'Ki selepas mengadakan pertemuan dengan penyanyi itu di Batu Caves pada Rabu. Foto Facebook ZED ZAIDI

PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berjaya menjejaki penyanyi terkenal era 90-an, To'Ki selepas kisah kesusahannya menjadi tular di Facebook sejak minggu lalu.

Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, pada pertemuan yang diadakan di Batu Caves pada Rabu, pihaknya cuba menyelami isi hati selain mendengar masalah sebenar penyanyi itu.

"Alhamdulillah sebelum kami datang bertemu dengannya kami menelefonnya terlebih dahulu dan dia bersetuju berjumpa hari ini.

"Dia tidak menghilang pun malah ketika kami beritahu hendak berjumpa dengannya dia mengalu-alukan kedatangan kami.

"Selama sejam pertemuan tadi, kami banyak mendengar tentang masalah sebenarnya selain cuba menyelami isi hatinya yang tidak orang tahu sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Peminat yang menggelarkan dirinya Engku Lokman bergambar bersama To'ki.

Dalam pada itu, Zed berkata, dia juga berasa lega apabila To'Ki atau Mohd Zaki Mansur terbuka untuk menerima bantuan bagi membolehkan dia kembali aktif dalam bidang muzik tempatan.

Kata Zed, dalam masa terdekat ini, To'Ki akan kembali merakamkan lagu baharunya di studio milik Seniman dan tiada sebarang caj dikenakan kepadanya.

"Pada saya masalah yang diutarakan boleh diselesaikan dan paling penting dia terbuka untuk menerima bantuan orang lain.

"Dia juga ada beritahu hendak menyiapkan lagu terbaharunya yang tergendala dan kebetulan Seniman ada studio, jadi kita bagi dia guna tempat itu secara percuma," ujarnya.

Tambah Zed, kunjungannya bersama Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Seniman yang lain turut memberi sumbangan wang tunai kepada To'Ki bagi meringkan bebannya.

Kisah kesusahan To'ki menjadi tular di Facebook apabila seorang peminat bertemu penyanyi lagu 'Hampa' itu dalam keadaan daif di sebuah stesen minyak yang tidak dinyatakan lokasinya.

Lelaki itu turut memberitahu dia terkesan melihat keadaan To'Ki tambahan pula Ramadan semakin hampir dan Syawal yang bakal menjelang.

Malah dia berharap ada pihak termasuk persatuan hiburan tampil membantunya seperti mana dilakukan terhadap penyanyi era 80-an, Ben Nathan.

To'Ki, Seniman, Zed Zaidi

Artikel Lain