suria

Tak Aibkan Bapa Fattah, Diana Amir - Fikry

Fikry menyangkal dakwaan dia mempersendakan nama bapa pelakon Fattah Amin dan aktres Diana Amir menerusi program Gema Gegar Vaganza (GGV) minggu lalu.

SELEPAS pengacara program hiburan Lawak Tak Sentral dikecam kerana mempersendakan nama bapa Watson Nyambek, pelawak Fikry (Lawak Solo) pula terpalit isu sama.

Fikry yang mengacarakan program Gema Gegar Vanganza (GGV) Ahad lalu dituduh melakukan perkara serupa namun kali ini mempermainkan nama bapa kepada pelakon Fattah Amin dan dramatis Diana Amir.

Bagaimanapun, Fikry atau Fikry Ahmad Ibrahim, 23, tampil menjelaskan perkara tersebut sebagai tidak mengaibkan mana-mana pihak.

Fikry mohon maaf jika tindakannya menjejaskan sensitiviti masyarakat.

"Bagi saya perkara itu tidak mengaibkan mana-mana pihak, saya ada sebut Fattah Amin Ya Rabbal Alamin, ia membawa maksud yang baik dan sesuai dengan program GGV yang lebih Islamik.

"Selain itu, Diana Amir pula saya fokus kepada Amir yang selalu digelar "Amir reka".

"Mungkin orang lain salah faham dan ada pandangan masing-masing," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Fikry mengakui terkejut apabila kali pertama dihujani dengan mesej kecaman netizen yang tidak berpuas hati terhadapnya.

Kata Fikry, ibunya di kampung turut menghubungi dan bertanya lanjut tentang apa yang terjadi.

"Saya terkejut apabila ia menjadi viral dan netizen menghentam saya bertubi-tubi di laman sosial.

"Malah ibu saya yang tiada laman sosial pun menelefon bertanyakan perkara sama.

"Lawak Fattah Amin itu saya pernah bawa ketika  pertandingan Lawak Solo dulu dan tidak pun menjadi isu. Mungkin kerana isu Watson Nyambek menjadikan saya turut terkena tempiasnya," ujar Fikry.

Fikry bagaimanapun memohon maaf jika perkara itu menjejaskan sensitiviti dan menimbulkan kemarahan masyarakat dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam setiap lawak disampaikan selepas ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain