suria

Fikry (Lawak Solo) Labur Wang Kemenangan Buka Perniagaan Sendiri

Fikry ingin menggunakan wang kemenangannya sebanyak RM20,000 bagi memulakan perniagaan. Foto FAIHAN GHANI

PETALING JAYA: Pemenang tempat ketiga program Lawak Solo musim pertama, Fikry bercadang menggunakan wang kemenangan sebanyak RM20,000 yang diperoleh pada pertandingan itu untuk mengeluarkan produk dibawah jenamanya.

Fikry atau Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 22, berkata, populariti yang diraih menerusi program itu juga dilihat dapat membuka jalan untuk dia memulakan perniagaan dalam masa terdekat ini.

"Sejak dahulu lagi saya memasang cita-cita untuk memiliki produk sendiri dan rasanya sekarang adalah masa paling sesuai berbuat demikian.

"Insya-Allah dengan sedikit populariti diraih sejak menyertai Lawak Solo, jalan untuk berniaga itu diharap dapat dipermudahkan kerana peminat mula mengenali saya.

Fikry berharap dapat mengembangkan lagi karier seninya selepas Lawak Solo berakhir.

"Bagaimanapun saya belum merancang untuk mengeluarkan produk apa kerana perlu berbincang dengan keluarga terlebih dahulu," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, pemegang Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini memberitahu, sebelum menyertai Lawak Solo dia pernah terlibat dalam bidang perniagaan.

Kata Fikry, dia membuka sebuah kedai dobi di Jitra, Kedah menggunakan wang simpanannya sendiri namun operasinya dihentikan buat seketika kerana menyertai pertandingan itu.

"Saya memulakan perniagaan dengan sebuah mesin basuh dan ia sempat beroperasi selama 10 bulan sebelum menghentikan operasi kerana menyertai Lawak Solo.

Sahrul Shiro turut muncul pada persembahan akhir.

Sementara itu, Fikry berkata, walaupun sudah bergelar selebriti dia tetap menyimpan hasrat untuk menyambung kembali pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda.

Pada masa sama kata Fikry, dia berharap diberi peluang untuk mengembangkan lagi bakatnya bukan sahaja sebagai pelawak tetapi pelakon dan pengacara.

"Jika ada tawaran berlakon atau menyertai program lawak saya tidak teragak-agak untuk terima kerana saya memang meminati bidang seni.

"Pun begitu pelajaran juga tidak saya lupakan malah memang berhasrat untuk menyambung kembali pengajian di universiti," katanya.

Lawak Solo, Fikry

Artikel Sebelum

Artikel Lain