suria

'Jangan Malas Layan Peminat' - Ayda Jebat

Ayda menang besar pada Anugerah Melodi 2016 yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) di sini pada Sabtu. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star.

PETALING JAYA: Pelakon Ayda Jebat memberitahu sebagai seorang selebriti dia tidak boleh bersikap ambil mudah terhadap para peminatnya kerana kejayaannya pada hari ini adalah kerana sokongan mereka.

Atas dasar itu kata Ayda atau Nur Suhada Jebat, 23, dia sentiasa mencari peluang dan ruang untuk meluangkan masa bersama mereka atau paling tidak membalas komen-komen ditinggalkan peminat di laman sosial miliknya.

"Pada saya sebagai artis kita jangan malas layan peminat kerana sokongan mereka, saya berada di mana saya sekarang.

Ayda Jebat cuba mencari ruang untuk mendekati peminat.

"Terlalu banyak jasa mereka pada karier saya walaupun kami tiada pertalian darah tetapi kasih sayang mereka cukup kuat.

"Sebab itu walaupun sibuk saya tetap cuba mencari peluang bersama peminat atau paling tidak membalas komen dan pertanyaan di laman sosial," katanya kepada mStar Online.

Pada malam Sabtu lalu, Ayda menang besar pada Anugerah Melodi 2016 termasuk kategori utama iaitu Personaliti Sensasi Melodi 2016.

Selain itu, penyanyi lagu Pencuri Hati itu turut membawa pulang dua lagi trofi iaitu Personaliti Muzik Melodi dan Personaliti Media Sosial Melodi.

Dalam pada itu, Ayda berkata, walaupun tidak menyangka dengan kemenangan itu namun bersyukur kerana ia adalah usaha keras peminat selain bukti sokongan mereka terhadapnya.

Kata Ayda, penghargaan itu adalah peringatan kepadanya agar terus berusaha lebih kuat memperbaiki diri termasuk tampil dengan karya-karya lebih bermutu pada masa hadapan.

"Alhamdulillah kerjaya saya pada tahun ini banyak saat-saat indah dan sudah lebih 10 trofi saya menang berdasarkan undian peminat.

"Saya harap tiada mempertikaikan kemenangan saya kerana ini adalah usaha peminat dan walaupun ia bukan pemilihan juri tetapi ia sangat bermakna kepada saya.

"Kemenangan ini juga bukan bererti saya boleh duduk selesa sebaliknya perlu lebih bekerja keras," katanya.

Ayda Jebat, Anugerah Melodi 2016

Artikel Lain