suria

"Buruk Sangat Ke Naskhah Saya?" - Pekin Ibrahim

Pekin Ibrahim terkilan dengan sikap dan mentaliti sesetengah pihak yang terus mempertikai kelayakan filem arahannya, Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dalam Festival Filem Malaysia 28 (FFM28).

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah muda Pekin Ibrahim meluahkan rasa kesal terhadap sikap dan mentaliti sesetengah pihak yang terus mempertikai kelayakan naskhahnya dalam Festival Filem Malaysia 28 (FFM28).

Pekin, 36, berkata, perkara itu membuatkan dia kecewa kerana ada di antara yang lantang mengkritiknya adalah idolanya dalam industri yang sedikit sebanyak menghilangkan rasa hormatnya kepada mereka.

“Buruk sangat ke filem saya sehingga pihak tersebut cuba mempertikaikan kewajaran bertanding di FFM28? Mereka ini menonton atau tidak filem saya atau sekadar menilai pada tajuk?

“Sebenarnya mereka inilah yang mengajar saya jadi seorang fighter dan saya takut perkara ini kelak akan membuatkan saya jadi lebih kurang ajar dari mereka,” katanya kepada mStar Online.

Mat Moto mendapat lapan pencalonan pada FFM28.

Pekin ditemui pada sesi fotografi bersama barisan calon lima terbaik FFM28 di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, di sini, Selasa.

Jelasnya lagi, filem arahannya Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit  yang mendapat lapan pencalonan dalam FFM28 disifatkan sebagai karya yang begitu dekat dengan dirinya.

Katanya, ia bukan sebuah naskhah yang memberi pengaruh negatif tetapi menerapkan mesej berunsur positif dan keagamaan secara tidak langsung.

“Syukur daripada lapan pencalonan, lima daripadanya adalah untuk saya di FFM28 dan terima kasih kepada pihak yang menghargai dan menilai karya ini dengan sewajarnya,” katanya.

Pekin menerima lima pencalonan untuk filem Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit  iaitu Pengarah Baharu Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.

Malam kemuncak festival berprestij itu bakal diadakan pada 3 September depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 9 malam.

Ia turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Dalam perkembangan lain, Pekin berkata, dia bakal memasuki set penggambaran fiem kedua arahannya iaitu KL Wangan pada 20 Ogos ini.

Selain itu, Pekin berkata, filem dokumentari terbitannya, Madness of Borneo yang diarahkan oleh Raja Mukhriz baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dan akan ditayangkan tidak lama lagi.

Pekin Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain