suria

Pendaftaran Joe Wings War of Bands Dilanjutkan

Joe Wings War of Bands turut membariskan pemuzik dan penyanyi rock sebagai juri profesional pada pertandingan itu nanti.
PETALING JAYA: Gitaris kumpulan Wings, Joe mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pertandingan Joe Wings War of Bands selepas ia mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 47, berkata, ia bagi membolehkan lebih ramai pihak mendaftar sebelum melayakkan diri ke peringkat saringan dalam mencari 10 kumpulan terbaik untuk dijadikan protege.

"Reaksi umum terhadap program ini amat memberangsangkan dan di luar jangkaan walaupun saringan pertama belum pun bermula.

"Oleh kerana ramai permintaan  yang mahu tempoh pendaftaran dilanjutkan maka pihak penganjur telah bersetuju untuk mengubah tarikh saringan ke tarikh baru.

"Ini membolehkan lebih ramai peserta berpotensi mendaftarkan diri dan seterusnya menghadiri peringkat saringan yang akan diadakan nanti," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu saringan bagi mencari 12 peserta akhir akan diadakan di tiga lokasi iaitu Johor Baru pada 31 Ogos, Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang (16 September) dan Ipoh (1 Oktober).

Tarikh baharu tersebut adalah Johor Baru pada 5 November, Ipoh (12 November) dan Kuala Lumpur (19 November).

Joe ingin mencari protege bagi meneruskan legasi muzik rock di negara ini.

Manakala peringkat akhir akan diadakan di tempat letak kereta, MAEPS Serdang dekat sini pada 26 November depan.

Dalam pada itu, Joe berkata, lanjutan tempoh pendaftaran itu juga dapat memberi ruang kepada mereka dalam mencari pelapis penyanyi dan pemuzik rock generasi baharu yang terbaik.

Katanya, sambutan hangat itu juga bukti banyak bakat baharu yang ingin mencuba nasib namun tidak berpeluang berbuat demikian kerana kekurangan pertandingan yang mencari bakat dalam genre rock.

"Kami sediakan platform ini kerana ingin mencari pelapis baharu dan sambutan luar biasa daripada peminat bukti kita banyak bakat-bakat ingin mencuba nasib.

"Diharap dengan lanjutan tempoh pendaftaran akan lebih ramai tampil selain dapat memberi mereka masa untuk bersedia sebelum ke peringkat saringan," katanya.

Tambahnya, peserta terpilih akan dibimbing secara profesional dan 10 kumpulan terbaik akan dipilih untuk menghasilkan sebuah album dibawah pengawasan dan terbitan Joe sendiri.

Sementara itu, Joe berkata, pertandingan ini nanti akan diadili oleh barisan juri profesional seperti Hillary Ang, Awang (Bumi Putra Rockers), Oney (Lipan Bara dan May), Mus (May) dan Edrie Hashim (Projek Pistol).

Selain juara sebagai sebuah kumpulan, mereka juga mencari gitaris, bes, vokalis termasuk pemain dram terbaik dan ganjaran menarik menanti peserta.

Juara pertandingan bakal menerima wang tunai RM5,000 manakala naib juara, RM3,000 dan tempat ketiga RM1,500.

Kesemua pemenang juga bakal menerima pakej percutian ke Pulau Tioman untuk tiga hari dua malam di Marina Bay Resort & Restaurant.

Hadiah untuk gitaris, bes, vokalis dan pemain dram terbaik akan menerima sumbangan daripada JS Music.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan berkenanaan boleh melayari www.tioevent.com/jwwob atau Facebook Joe Wings Protege.

Joe Wings War of Bands, Joe

Artikel Lain