suria

APO2016: Mia Ahmad & Saharul Ridzwan Anggap Kemenangan Peminat

Mia Ahmad dan Sahahrul Ridzwan bersama trofi kemenangan masing-masing. Foto FAIHAN GHANI, SHAARI CHE MAT, KAMARUL ARIFFIN dan CHAN TAK KONG.

PETALING JAYA: Pelakon Mia Ahmad dan Sahahrul Ridzwan menganggap kemenangan mereka menerusi dua kategori pada Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) adalah hasil kerja keras peminat mereka.

Malah kata kedua-dua pelakon yang pernah bergandingan dalam drama bersiri Hati Perempuan itu ia adalah kemenangan buat peminat yang tidak jemu memberi sokongan terhadap karier mereka.

Pada malam kemuncak APo 2016, Saharul membawa pulang kemenangan Aktor Terbaik Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars sementara Mia Ahmad memenangi Aktres Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan Dnars.

Saharul rendah diri dicalonkan bersama nama besar lain.

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28, ketika ditemui berkata, dia langsung tidak menyangka dengan kemenangan itu kerana kurang membuat promosi di Instagram memandangkan akaun laman sosialnya itu digodam buat kali ketiga baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Mia, dia terharu dengan kesungguhan peminat yang terus mengundinya sehingga dia terpilih untuk memenangi dua kategori pada malam itu.

"Saya akui kurang buat promosi untuk meminta peminat mengundi saya kerana Instagram saya digodam buat kali ketiga.

Mia menganggap kemenangan adalah milik peminat.

"Alhamdulillah ini semua sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi dan trofi ini adalah untuk mereka," katanya.

Sementara itu, Saharul, 27, pula berkata, dia tidak mengharapkan kemenangan kerana menyedari persaingan menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Pilihan Online cukup hebat dan jauh lebih berpengalaman daripadanya.

"Kehadiran saya sebenarnya ingin memberi sokongan kepada APO 2016 dan tercalon bersama-sama pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Shaheizy Sam dan Zizan Razak adalah satu penghormatan besar buat saya.

Saharul menggondol dua trofi pada APO 2016.

"Saya memang terkejut dengan kemenangan ini dan tanpa peminat saya tidak mungkin berada pada tahap ini sekarang," ujarnya.

Akim & The Majistret terdahulu diumumkan sebagai kumpulan muzik paling berpengaruh di media sosial selepas memenangi Personaliti Terunggul APO2016 yang disiarkan di TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini pada Sabtu.

Anugerah ini dianjurkan buat pertama kalinya oleh Star Media Group Berhad di bawah dua entiti berbahasa Malaysianya iaitu mStar Online dan stesen radio Suria FM dan diperhebatkan oleh Dnars selaku penaja utama.

Pengasas Dnars Faziani Rohban dan suaminya, Ahmad Shah Rizal.

Ia membabitkan 18 kategori termasuk satu kategori utama.

Bertemakan 'Glam Digital' ia bertujuan mengiktiraf selebriti dalam pelbagai bidang melalui medium media sosial.

APO2016 yang mendapat kerjasama RTM dan TV2 sebagai rakan penyiar turut disiarkan secara live streaming di YouTube dan laman web apo.mstar.com.my.

APO 2016, Mia Ahmad, Saharul Ridzwan

Artikel Lain