suria

Penganjur Konsert Tidak Bimbang Masalah Disiplin Mael (XPDC)

Gambar fail menyaksikan vokalis May iaitu Mus (tengah) bersama anggota XPDC termasuk vokalisnya Mael (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR: Pihak penganjur tidak berasa bimbang sekiranya vokalis kumpulan XPDC iaitu Mael akan menimbulkan masalah pada Konsert May VS XPDC yang bakal berlangsung pada 30 April depan seperti mana yang pernah dilakukan sebelum ini.

Pengarah ARD Management Sdn Bhd, Ardiana Andi Mahmud berkata, setakat ini penyanyi tersebut memberikan kerjasama cukup baik dalam persiapan menjelang konsert berkenaan dan yakin Mael akan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap persembahan itu nanti.

"Pihak kami dan Mael ada menandatangani kontrak dan setakat ini tiada sebarang masalah timbul.

"Insya-Allah semuanya akan berlangsung seperti dirancang dan Mael juga memberikan komitmen yang baik," katanya.

Adriana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media kedua konsert berkenaan di Hard Rock Café di sini, Khamis.

Konsert May VS XPDC akan diadakan di Padang B, Plaza Angsana Johor pukul 8.30 malam.

Bagaimanapun Mael tidak muncul dalam sidang media yang diadakan tanpa apa-apa alasan.

Pihak pengajur juga dilihat seperti kurang bersedia mengaturkan sidang media termasuklah seperti acuh tak acuh dalam menjawab beberapa soalan dikemukakan.

Terdahulu, menerusi Konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Disini yang diadakan pada 6 Jun tahun lalu, berlaku kekecohan apabila Mael gagal muncul pada waktu dijanjikan dan hanya muncul sejam kemudian.

Ekoran kejadian itu ramai peminat tidak berpuas hati apabila penyanyi tidak dikenali muncul menggantikannya sebelum konsert dihentikan buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Adriana berkata, respons terhadap konsert yang bakal dianjurkan mereka cukup menggalakkan apabila kesemua tiket VVIP bernilai RM700 habis dijual.

Kumpulan May.

Jelasnya, ia bukti peminat memang menantikan kemunculan kedua-dua nama besar dalam bidang muzik itu untuk disatukan di atas pentas sama.

"Anggaran tempat duduk VVIP dalam 1,000 dan kesemuanya sudah habis dijual sejak penjualan tiket dibuka baru-baru ini.

"Pihak kami melihat ia perkembangan baik dan berharap peminat tidak akan melengahkan masa untuk membuat pembelian tiket," ujarnya.

Sementara itu, Mus yang juga vokalis May berkata, kedua-dua kumpulan akan mempersembahkan 12 lagu terbaik masing-masing pada segmen solo pada malam itu nanti.

Malah mereka juga bakal bergabung pada segmen 'battle' yang bakal memperlihatkan pelbagai kejutan diberikan kepada peminat yang hadir nanti.

"Setakat ini persiapan berjalan dengan lancar dan akan ada banyak kejutan untuk peminat yang hadir.

"Kami tidak boleh dedahkan sekarang dan kena tunggu pada malam itu nanti," jelasnya.

Tambah Mus, dia tidak bimbang akan risiko konsert berkenaan akan ditangguh seperti mana berlaku kepada beberapa konsert besar lain sebelum ini kerana yakin dengan strategi pihak penganjur.

"Kewangan dan perancangan diatur pihal penganjur cukup baik setakat ini dan Insya-Allah konsert ini akan berjalan seperti dijadualkan," katanya.

Kumpulan May dan XPDC akan mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan konsert berkenaan di Johor iaitu di Muar, Kluang Mall (22 April), Segamat Mall, Kip Mart Masai (23 April) dan Pasir Gudang (24 April).

Harga tiket bagi menyaksikan konsert ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu RM700 (VVIP), RM100 (Rockzone), RM50 dan RM30.

Pembelian tiket dan tempahan boleh dibuat menerusi talian 016-9160809 atau 07-2328634.

XPDC, May, Mael

Artikel Sebelum

Artikel Lain