suria

Yuna Rahsiakan Album Baru, Bangga Duet Dengan Usher, David Foster

PETALING JAYA: Penyanyi Yuna masih lagi berahsia mengenai tajuk album baharunya yang bakal menemui peminat pada Februari 2016.

Bagaimanapun penyanyi yang terkenal dengan lagu Material dan Lautan ini mendedahkan album penuh berbahasa Inggeris itu akan memuatkan sebanyak 12 buah lagu dan ia masih dalam proses untuk disiapkan pada peringkat akhir.

"Tajuk (album) masih belum boleh didedahkan lagi. Jadi, kita tunggu sahaja Februari 2016 untuk ia dipasarkan," katanya kepada mStar Online.

Yuna ditemui pada majlis ‘Bank Simpanan Nasional (BSN) Bersama Yuna’ di Bentley Music, Mutiara Damansara di sini pada baru-baru ini.

Album versi Amerika Syarikat (AS) tersebut akan menyaksikan Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 29, berduet bersama bintang R&B terkenal AS, Usher dan bekerjasama dengan komposer David Foster.

Yuna ketika membuat persembahan.
Alhamdulillah itu rezeki saya, tak pernah pun termimpi untuk berkolaborasi dengan Usher dan David Foster.

"Ia merupakan sesuatu yang istimewa buat saya. Saya teruja, tak sabar nak kongsikan dengan para peminat di luar sana," katanya.

Sebelum ini, Yuna telah mengeluarkan empat album di Malaysia iaitu Yuna  (2008), Decorate (2010), Terukir Di Bintang (2012), dan Material (2015) serta empat album Amerika Syarikat (AS) iaitu Decorate (2011), Yuna (2012), Sixth Street (2013) dan Nocturnal (2013).

Dalam pada itu pada majlis berkenaan Yuna meraikan 100 pemenang bagi Kempen Pembiayaan Peribadi BSN–Paris, Milan, London.

Antara lagu yang dinyanyikan Yuna pada majlis itu ialah Terukir Di Bintang, Rescue, Dan Sebenarnya, Lullabies dan Lelaki.

Selain itu, tiga pemenang hadiah utama turut diumumkan di mana mereka bersama pasangan akan diterbangkan ke destinasi masing-masing iaitu Paris, Milan atau London untuk membeli-belah yang ditanggung sepenuhnya.
Yuna, BSN

Artikel Lain