suria

Selepas 4 Tahun, Beego Akhirnya Bebas Tuduhan Khalwat

Beego (kanan) ditemani peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Seelasa.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa mendapati pelakon Beego dan dua rakannya tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan dua wanita di sebuah rumah empat tahun lalu.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin dalam keputusannya memerintahkan Beego atau nama sebenarnya, Aszerul Nizam Abdullah, 35, Fikry Zainon, 35, dan Arsli Mior Atan Ahmad, 34, dibebaskan tanpa perlu membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Shaiful Azli memberitahu mahkamah, keterangan saksi ditampilkan pihak pendakwaan jelas berlaku banyak percanggahan dan tidak konsisten sehingga menimbulkan keraguan terhadap kes berkenaan.

Malah siasatan pihak penguatkuasa ditempat kejadian tidak lengkap selain dilakukan secara rambang dan tidak menyeluruh termasuk tidak memeriksa bilik-bilik yang berada dalam tempat kejadian.

Shaiful Azli dalam keputusannya juga memerintahkan bon jaminan yang dikenakan terhadap ketiga-tiga mereka turut dicairkan.

Terdahulu mereka didakwa berkhalwat dengan dua kenalan wanita iaitu Hadijah Mohamad Mokhar dan Azlina Yazit di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang di sini pada pukul 6 pagi pada 23 Februari 2011.

Azlina dan Hadijah yang berusia awal 30-an mengaku bersalah pada Mei 2012 atas tuduhan itu dan masing-masing membayar denda berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Beego diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan manakala pendakwaan dilakukan oleh Aiman Roslan.

Sementara itu, Beego yang ditemui diluar mahkamah memberitahu bersyukur dengan keputusan dibuat mahkamah dan bukti dia dan rakan-rakannya tidak bersalah.

Jelas Beego, perjuangannya selama empat tahun nyata tidak sia-sia selain dapat membersihkan namanya yang tercalar sepanjang tempoh itu.

"Saya sudah hampir putus asa tetapi saya sedar kalau saya mengaku bersalah ia akan memberi kesan berpanjangan kepada saya.

"Alhamdulillah keputusan dibuat mahkamah hari ini membuktikan saya dan rakan-rakan tidak bersalah," katanya dalam nada sebak.

Beego telah berkahwin dengan pelakon Linda Hashim pada 8 Jun 2013 dan dikurniakan cahaya mata bernama Jelita Clarissa yang lahir pada 23 April 2014.

Linda dijadual melahirkan anak kedua pada Januari 2016.

Beego

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain