suria

Masalah Pertuturan, Maya Karin Selesa Berlakon Tanpa Dialog

Maya Karin.
PETALING JAYA: Pelakon Maya Karin selesa berlakon tanpa dialog panjang seperti dalam filem terbaharunya Nota biarpun terpaksa menzahirkan peranannya menerusi ekspresi dan bahasa tubuh.

Maya atau nama sebenarnya Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 36, berkata, ini kerana sebutan bahasa Melayunya masih tidak sempurna biarpun sudah banyak terlibat dalam pelbagai filem sebelum ini.

"Bukan saya tidak selesa bercakap dalam bahasa Melayu tetapi kadang-kala sebutan saya itu masih 'pelat' dan apabila pengarah memberitahu peranan saya dalam Nota tidak banyak dialog saya gembira.

"Namun bukan mudah untuk berlakon tanpa skrip  kerana ekspresi dan bahasa tubuh perlu tepat dalam menggambarkan sesuatu keadaan," katanya kepada mStar Online.

Filem Nota arahan pengarah dari Jepun, Yasu Tanaka turut menampilkan barisan pelakon seperti Hans Isaac dan Ramli Hassan. Ia bakal ditayangkan di pawagam pada 13 Ogos ini.

Dalam pada itu, Maya berkata, pengalaman berlakon di bawah arahan Yasu sangat berbeza kerana dia begitu teliti dalam apa yang dimahukannya untuk filem berkenaan.

"Nota adalah sebuah filem berbeza dalam pembikinannya kerana Yasu telah merancang semuanya sebelum penggambaran bermula selain pendekatan digunakan berbeza dan saya sebagai pelakon teruja dapat bekerja di bawah arahannya," katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalaman menjalani penggambaran di Taman Negara Bako, Sarawak, Maya berkata ia mencabar walaupun dia menyukai aktiviti lasak.

"Saya gemar bercuti dan melakukan aktiviti lasak termasuk berkunjung ke tempat seperti Taman Negara tetapi apabila bekerja saya dapati ia sangat sukar.

"Tetapi ia masih pengalaman menyeronokkan dan sebagai pelakon telah menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan amanah diberi," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Maya masih giat mempromosikan album terbaharunya, Teka-Teki selain bakal mengadakan persembahan istimewa di Melbourne, Australia pada September depan.
Maya Karin, Nota.

Artikel Lain