suria

10 Negara Sertai Festival Filem Johor Bahru 2015

Pihak penganjur Festival Filem Johor Bahru 2015 turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada acara yang bakal berlangsung pada 11 hingga 13 Jun depan.
AMPANG: Sepuluh buah negara termasuk Malaysia terpilih untuk menyertai Festival Filem Johor Bahru 2015 yang julung kali diadakan di MAP Nusajaya dan Universiti Multimedia Nusajaya, Johor pada 11 hingga 13 Jun depan.

Pengasas Pertubuhan Seni Persembahan Johor, Yap Siong Cheng, berkata, penyertaan filem daripada 10 buah negara tersebut dinilai berdasarkan isu diketengahkan dalam jalan ceritanya selain ia relevan kepada masyarakat.

"Pihak kami bertuah kerana mendapat kerjasama daripada pengarah veteran, Hassan Muthalib untuk memilih 10 buah filem terbaik bagi menyertai festival tersebut.

"Festival ini julung-julung kali diadakan dan pengesahan daripada 10 buah negara untuk menyertai acara itu nanti adalah satu kejayaan buat kami sebagai penganjur," katanya kepada mStar Online.

Yap ditemui pada sidang media festival berkenaan yang diadakan di Panggung Mini P.Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Selasa.

Sepuluh filem terpilih menyertai festival berkenaan adalah Cuak (Malaysia), Labour of Love (India), Pee Mak (Thailand), Soekarno (Indonesia) dan Sayang Di Sayang (Singapura).

Filem Cuak mewakili Malaysia pada Festival Filem Johor Bahru 2015.

Manakala lima lagi karya bertanding adalah Television (Bangladesh), Halaw (Filipina), Cambodian Son (Kemboja), Komaneko (Jepun) dan My Mother is in America & She Met Buffalo Bill (Perancis).

Dalam pada itu, Yap berkata, pihaknya menganjurkan Festival Filem Johor Bahru 2015 berkenaan selepas mendapat permintaan daripada penggiat seni yang ingin melihat acara berhubung perfileman lebih banyak dianjurkan.

Malah kata Yap, acara itu adalah salah satu kesinambungan kepada Festival Antarabangsa Johor Bahru dikhusukan kepada seni persembahan sejak 12 tahun lalu yang diadakan di Johor Bahru.

"Festival Seni Persembahan adalah satu kejayaan besar dan pada Februari lalu kami mengadakan Festival Jazz Johor Bahru dan Festival Muzik Klasik Johor Bahru dan ia mendapat sambutan hangat.

"Dari situ, kami mula berfikir untuk mengadakan festival yang mengkhususkan kepada filem dan berharap percubaan kali pertama ini akan berhasil," ujarnya.

Pada festival itu kata Yap, pihaknya akan mengadakan tayangan istimewa filem arahan lima pengarah muda dari Malaysia iaitu Khairil M Bahar, Benji Lim, Manesh Nesaratnam, Tony Pietra Arjuna dan Shamaine Othman menerusi karya berjudul Cuak.

Jelasnya lagi, kesemua pengarah dan pelakon daripada 10 filem yang terpilih itu juga bakal hadir ke festival berkenaan pada acara karpet merah pada malam pembukaan.

"Kami bukan hanya mengadakan tayangan kesemua filem berkenaan sepanjang tiga hari festival tersebut malah turut mengadakan forum bagi membincangkan pelbagai isu dan penonton berpeluang bertanyakan soalan kepada mereka selepas tayangan diadakan.

"Malah beberapa kelas turut diadakan dengan penceramah jemputan kepada mereka yang berminat untuk mendalami tentang bidang perfileman," ujarnya.

Sementara itu, Yap berkata, selain sepuluh filem cereka, Festival Filem Johor Bahru 2015 turut menampilkan lima buah filem pendek arahan pengarah muda tempatan untuk ditayangkan kepada penonton.

Lima filem pendek itu adalah Terbang (Linus Chung), Doors of Horrors (Leroy Low, Edmund Yeo, Ng Ken Kin), Ragut (Razif Mat Zain), Doghole (Wong Hoy Cheong) dan Silhouette (Ravishanker).

Artikel Lain