suria

Industri Kreatif Negara Dapat Pengiktirafan Antarabangsa

Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman (tengah), Jurey Latiff Rosli (kanan) dan Prof. Dr. Ahmad Rafi semasa pelancara portal CCIG. Foto: AZLINA ABDULLAH
KUALA LUMPUR: Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG Malaysia) telah mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada Producers Guild of America (PGA).

Pengerusi CCIG, Jurey Latiff Rosli, berkata, pengiktirafan yang diperolehi CCIG itu adalah hasil daripada hubungan kerjasama baru yang dilakukan bersama pertubuhan itu.

“Dengan pengiktirafan daripada PGA akan memperkukuhkan jenama CCIG di peringkat antarabangsa dan secara tidak langsung ia akan memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada penggiat industri kreatif tempatan.

"CCIG akan terus berusaha menjalin kerjasama dengan lebih banyak guild antarabangsa bagi mempersiapkan industri kreatif tempatan untuk bersaing di peringkat global," katanya kepada mStar Online.

Jurey berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran portal CCIG yang baru dan pengumuman rakan hubungan kerjasama baru dengan Producers Guild of America (PGA) di Double Tree by Hilton Hotel, Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Pelancaran portal baru CCIG dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Kamil Othman selaku badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia CCIG Malaysia.

Antara artis yang hadir memberi sokongan ialah Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Yusof Haslam, Zed Zaidi, Normah Damanhuri dan Aziz M. Osman.

Tambah Jurey, portal CCIG merupakan medium mengumpul maklumat yang menghubungkan pengamal industri kandungan kreatif Malaysia dengan dunia luar.

"CCIG akan mengumpul segala data yang didaftarkan oleh setiap ahli dan ia secara tidak langsung memudahkan untuk mendapatkan maklumat menerusi portal ini.

"Peluang kerjaya mereka juga dijangka bakal meningkat dengan adanya paparan profil ahli di dalam portal CCIG justeru ia akan memberi pendedahan terhadap pelabur-pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Jurey menjelaskan sehingga hari ini, seramai lebih 6,000  pengamal industri kandungan kreatif telah mendaftar sebagai ahli CCIG Malaysia.

Tambahnya, kerjasama yang dilakukan antara CCIG dan PGA mampu menaiktaraf kredibiliti pengiat industri Malaysia ke peringkat global supaya kelahiran semula industri hiburan Malaysia lebih dinamik serta mampu berdaya saing.

Laman web CCIG boleh dilayari menerusi http://www.ccigmalaysia.com/
CCIG, Jurey Latiff

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain