suria

Mariah Carey Tunaikan Hasrat Peminat Di Kuala Lumpur

Mariah memuat naik gambar bersama para peminatnya di Kuala Lumpur di laman Instagram dan Facebook miliknya.
PETALING JAYA: Penyanyi terkenal Mariah Carey sempat meluangkan masa bersama peminatnya yang berkumpul di hadapan pusat membeli belah mewah iaitu Starhill Gallery, Bukit Bintang pada malam Selasa.

Mariah, 44, yang mengenakan gaun hitam berserta jaket kulit lengkap berkaca mata hitam kelihatan mesra melayan peminat yang inginkan tandatangannya biarpun dikelilingi pengawal peribadi.

Sekumpulan peminat turut membawa sepanduk tertulis "Can We Have A #Moment With You?" dan #justforthenostalgia dengan harapan Mariah sudi meluangkan masa bersama mereka.

Percubaan mereka nyata berhasil apabila Mariah sudi merakamkan gambar kenangan bersama mereka dan memuat naik gambar tersebut di laman Instagram dan Facebook miliknya.

Mariah menurunkan tandatangan pada album terbaharunya untuk peminat. Foto Ihsan Facebook Lambs of Asia to the Worlds.

"Berlari ke arah #lambily (gelaran Mariah kepada peminatnya) semasa sedang membeli belah di Malaysia! Jumpa anda di persembahan esok," tulisnya.

Mariah berada di Malaysia untuk siri konsert jelajahnya The Elusive Chanteuse Show yang akan diadakan di Stadium Merdeka di sini pada malam Rabu (malam ini).

Penyanyi bersuara emas itu kemudiannya dijadualkan akan mengadakan persembahan di Singapura dan Filipina sebelum meneruskan jelajah di Australia dan New Zealand.

Dalam pada itu, ketika bersama peminatnya, Mariah sempat memberitahu dia terfikir untuk menyanyikan lagu Through The Rain daripada album Charmbracelet ekoran musim hujan yang sedang melanda negara ketika ini.

Penyanyi itu sempat membeli belah di Starhill Gallery.

Mariah berkata demikian selepas salah seorang peminatnya mencadangkan dia menyampaikan lagu tersebut khas buat peminatnya di Malaysia.

"Saya sendiri terfikir mengenai perkara itu...mungkin," katanya.

Sementara itu, Mariah terdahulu dilihat memasuki beberapa butik mewah di Starhill Gallery dipercayai membeli pakaian bersesuaian untuk kemunculannya di Stadium Merdeka malam ini.

Kunjungan kali kedua Mariah di negara ini turut ditemani oleh anak kembarnya Monroe dan Moroccan.

Mariah kali pertama kali mengadakan konsert di negara ini pada tahun 2004.

Artikel Berikut

Artikel Lain